Skip to main
Logo Malaysiakini

Timbalan menteri: Kami tak pernah berhenti siasat Najib, 1MDB

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Pihak berkuasa tidak pernah berhenti menyiasat bekas perdana menteri Najib Razak berhubung skandal kewangan 1MDB, kata timbalan menteri undang-undang Mas Ermieyati Samsudin.

Mas menjawab soalan Lim Guan Eng (Pakatan Harapan-Bagan) yang mempersoalkan perkembangan pasukan penyiasat khas yang terdiri daripada polis, SPRM, Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) yang ditubuhkan pada 2018 untuk menyiasat kes 1MDB.

Lim sebelum ini juga bertanya mengapa pihak berkuasa tidak menyiasat semula Najib berhubung pendedahan baru yang dibuat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner mengenai urusan 1MDB baru-baru ini.

“Kami tidak pernah menghentikan siasatan ke atas Najib, berhubung 1MDB dan Najib kini telah dijatuhkan hukuman,” jawab Mas.

Mas bercakap semasa mesyuarat kamar khas mengenai usul ketua pembangkang Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan-Port Dickson) untuk membincangkan perkara yang didedahkan oleh Leissner semasa memberi keterangan saksi dalam perbicaraan rasuah bekas rakan sekerjanya Roger Ng. di New York.

“Berkenaan isu terkini dengan Leissner, kami masih dalam siasatan.

“Sebab itu apabila kami mendapat tahu mengenainya, kami terus menghubungi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd) Rohana Rozhan dan kami juga dalam proses memanggil beberapa orang lain supaya kami boleh menyiasat secara menyeluruh,” tambah Mas.

Dalam salah satu keterangannya, Leissner memberitahu mahkamah persekutuan AS bahawa Rohana, yang merupakan kekasihnya pada masa itu, telah mengugut untuk memberitahu pihak berkuasa tentang penglibatannya dalam skandal 1MDB melainkan dia membelikannya sebuah rumah di London.

Dia akhirnya membelanjakan kira-kira AS$10 juta (RM40 juta) untuk membelikan Rohana sebuah rumah di London.

Rohana sejak itu berkata dia akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan dan telah disoal siasat oleh SPRM.

Dalam mesyuarat kamar khas hari ini, Fahmi Fadzil (Pakatan Harapan-Lembah Pantai) turut mempersoalkan sama ada kerajaan Malaysia sedar mengenai maklumat yang didedahkan oleh Leissner dan mengapa ia tidak didedahkan lebih awal.

Mas menyangkal perkara ini dengan berkata SPRM tidak mengetengahkan perkara ini selama ini kerana perkara ini tidak diketahui oleh mereka.

“Ia kerana kerajaan Malaysia hanya mengetahui apa yang berlaku apabila Leissner membuat pendedahan itu kerana selama ini, Jabatan Kehakiman (DOJ) AS menyimpan maklumat itu sendiri dan tidak berkongsi dengan kerajaan Malaysia,” katanya.

Dia mengalu-alukan pendedahan perkara-perkara berkenaan kerana menurutnya ia akan membantu pihak berkuasa Malaysia dalam siasatan.

Mas turut menyatakan bahawa bukan mudah bagi pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat dan mendapatkan maklumat apabila ia melibatkan negara asing yang dianggap kuasa besar global.

Lim sebelum ini menggesa Najib disiasat semula SPRM berhubung pendedahan terbaru bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner.

Lim berkata Najib selaku watak penting dalam skandal 1MDB seharusnya tidak terlepas daripada siasatan selepas pendedahan terbaru itu kerana rakyat ingin mengetahui kebenarannya.

"Itu satu pendedahan baru, kita nak tahu adakah SPRM akan panggil dan siasat Yang Berhormat Pekan (Najib).

"Jangan hanya siasat yang lain-lain, watak utama harus disiasat juga.

"Saya minta SPRM, minta kerajaan jawab perkara ini. Apakah petugas khas 1MDB telah dibubarkan atau sudah dikurangkan, ini harus diberi jawapan," katanya ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong, di Parlimen, hari ini.