CIMB Bank diheret ke mahkamah kerana bekukan akaun
Sembilan individu dan tiga syarikat memfailkan saman terhadap CIMB Bank dan CIMB Islamic Bank atas dakwaan memungkiri kontrak yang dikaitkan dengan pembekuan akaun mereka.
Menerusi peguam dari firma guaman Nazmi Zaini Chambers, 12 plaintif itu memfailkan writ saman terhadap bank berkenaan.
Pada 11 Februari lalu, Bernama melaporkan bahawa Bank Negara Malaysia akan mengambil langkah penyeliaan dan tindakan sewajarnya ke atas CIMB Group Holdings Bhd jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan berhubung insiden kesilapan memproses oleh bank baru-baru ini.
Menurut laporan berita lain, CIMB mendakwa bahawa kesilapan pemprosesan dalam sistem perbankannya yang telah mengakibatkan beberapa akaun dibekukan, dan bank itu telah menghubungi pelanggan yang terjejas untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.
Melalui tindakan sivil, pelanggan berpendapat bahawa bank telah melanggar Klausa 7 Terma dan Syarat akaun simpanan semasa mereka, yang berkaitan dengan Pembekuan Akaun.
Pelanggan mendakwa bahawa pada setiap masa penting, mereka tidak pernah terlibat dalam atau menjalankan sebarang transaksi yang membolehkan bank membekukan akaun masing-masing (plaintif mendakwa mereka dimaklumkan bahawa akaun mereka dibekukan antara 26 dan 28 Januari).
Plaintif mendakwa bahawa antara 31 Januari dan 4 Februari, mereka dimaklumkan oleh pelbagai cawangan bank bahawa mereka disyaki terlibat dalam aktiviti haram atau mencurigakan dan bank sedang menyiasat perkara berkenaan.
“Plaintif-plaintif juga dimaklumkan bahawa jumlah (wang) yang dibekukan adalah sebahagian daripada transaksi terapung sementara menunggu penyelesaian transaksi tersebut dan kesemua plaintif dimaklumkan sistem perbankan atas talian defendan-defendan dalam proses penyelenggaraan teknikal,” dakwa kesemua plaintif.
Mereka juga berhujah bahawa antara 31 Januari dan 11 Februari, mereka menerima banyak mesej teks dan panggilan telefon daripada cawangan bank yang memaklumkan bahawa akaun tersebut menghadapi kesilapan teknikal.
Mereka mendakwa bank memberitahu mereka bahawa kesilapan teknikal akaun-akaun tersebut berpunca daripada kecuaian penyedia perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga yang telah melakukan proses pengkreditan berganda (double crediting) ke atas akaun-akaun itu.
Pelanggan mendakwa bahawa bank kemudian memberitahu mereka bahawa akaun-akaun tersebut dibekukan dan/atau ditahan bagi tujuan bayaran balik dan kutipan hutang (debt recovery and repayment) daripada mereka.
“Tindakan defendan-defendan (CIMB Bank dan CIMB Islamic Bank) membekukan dan/atau menahan akaun-akaun tersebut tanpa sebarang alasan yang dibenarkan di dalam Klausa 7, Terma dan Syarat tersebut adalah suatu kemungkiran kontrak yang wujud di antara plaintif-plaintif dan defendan-defendan.
“Susulan daripada tindakan pembekuan dan/atau penahanan akaun-akaun tersebut oleh defendan-defendan, plaintif-plaintif mengalami kesukaran, kesulitan dan kepayahan apabila tidak boleh menggunapakai akaun-akaun tersebut,” dakwa sembilan individu dan tiga firma itu.
Plaintif berhujah bahawa bank itu melanggar kewajipan menjaga hak mereka dengan membenarkan penyedia perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga yang telah melakukan proses pengkreditan berganda sehingga menjejaskan hak dan kedudukan mereka sebagai pelanggan kepada bank.
Mereka berpendapat bahawa bank gagal memberitahu bahawa transaksi mereka akan terjejas atau terganggu kerana kecuaian oleh pihak ketiga.
Menerusi tindakan sivil itu, plaintif memohon beberapa perintah mahkamah, antaranya supaya bank segera melepaskan (discharge) dan/atau menyahbekukan (unfreeze) akaun-akaun mereka.
Pelanggan juga memohon mendapatkan perintah untuk bank membayar ganti rugi atas kemungkiran kontrak dan/atau pelanggaran kewajipan berhati-hati oleh defendan; ganti rugi teladan; bayaran balik kos guaman plaintif-plaintif sebanyak RM10,800.00; kos bagi tindakan saman; dan relif selanjutnya atau relif lain sebagaimana yang difikirkan sesuai dan wajar oleh mahkamah.
Ketika dihubungi, peguam plaintif Nazmi Mohd Zaini mengesahkan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Peguam itu berkata, kertas kausa telah diserahkan kepada bank, dan tindakan undang-undang ditetapkan untuk pengurusan kes pada 15 Mac secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi S Malarselvi.
Malaysiakini telah menghubungi peguam bank dari firma guaman Shearn Delamore & Co dan sedang menunggu jawapan mereka mengenai perkara itu.
Sementara itu, Kumpulan CIMB dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, lewat petang tadi, menyangkal dakwaan yang dibangkitkan oleh tuntutan mahkamah itu dan menegaskan bahawa ia bersedia untuk membela diri di mahkamah.
“Kumpulan CIMB menafikan sebarang dakwaan memungkiri kontrak yang dikemparkan terhadapnya dan akan membela kedudukannya.
"Seperti yang kami tegaskan sebelum ini, Bank ini tetap komited untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus kepada pelanggan yang terjejas," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai