Skip to main
Logo Malaysiakini

Leissner: Jho Low rekrut menantu Trump untuk gugurkan tuduhan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner memberi keterangan semalam bahawa dia pernah diberitahu oleh Jho Low bahawa dia ada berhubungan dengan Jared Kushner dan mereka yang rapat dengan presiden AS ketika itu Donald Trump mengenai 1MDB.

Menurut Bloomberg, Leissner memberi keterangan bahawa perbualan dengan Jho Low berlaku di Hong Kong pada 2017, selepas bekas rakan sekerjanya Roger Ng ditangkap di Singapura.

Leissner berkata Low mendakwa telah "berdialog" dengan Kushner - menantu Trump - dan penasihat kanan Rumah Putih berhubung "penyelesaian global".

Rancangan itu, kata Leissner, akan membolehkan dia, Ng dan Low daripada pertuduhan jenayah ke atas 1MDB di AS.

"Dia kata dia telah berdialog dengan pentadbiran Trump, bahawa dia telah bertemu dengan Jared Kushner di Beijing dan telah bekerja dengan presiden dan pentadbirannya yang menyokong penyelesaian di sekitar semua individu di sekeliling Jho," kata Leissner kepada mahkamah.

Leissner memberi keterangan bahawa Jho Low mendakwa bahawa penyelesaian itu akan menelan perbelanjaaan beberapa bilion dolar yang akan dibayarnya sendiri.

"Bayaran yang akan menyelesaikan isu 1MDB buat selama-lamanya," kata Leissner.

Bloomberg bercakap dengan seseorang yang lazim dengan jadual Kushner dan berkata lelaki itu tidak pernah bertemu Jho Low sebelum ini manakala Leissner memberitahu mahkamah dia tidak boleh mengesahkan secara bebas jika Jho Low bercakap benar.

Kushner adalah penasihat kanan semasa Trump adalah presiden. Bloomberg menyatakan bahawa melibatkan Kushner adalah langkah besar bagi percubaan Jho Low untuk mengelakkan pendakwaan di AS.

Pada 2020, pelobi Elliot Broidy mengaku bersalah menerima AS$9 juta daripada Jho Low untuk mendesak pentadbiran Trump mengekstradisi seorang penentang Cina dan menggugurkan kes melibatkan 1MDB.

Dalam indikmen mahkamah ke atas Broidy, pendakwa raya AS berkata tertuduh secara peribadi meminta Trump menjemput Najib bermain golf apabila dia melawat AS pada September 2017.

Indikmen mahkamah berkata matlamat adalah untuk memberi peluang kepada Najib untuk "cuba menyelesaikan masalah 1MDB" dengan Trump. Broidy akhirnya dimaafkan oleh Trump. Ketika itu, Broidy memberitahu mahkamah bahawa dia dijanjikan bayaran AS$75 juta oleh Low sekiranya berjaya.

[Baca berita penuh]