Skip to main
Logo Malaysiakini

'Adakah kerajaan akan pinda perlembagaan bagi henti penukaran agama sepihak?'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) mempersoalkan sama ada kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menghentikan penukaran agama secara sepihak kanak-kanak bawah umur oleh salah seorang ibu atau bapa.

Bekas menteri undang-undang itu juga bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk meminda perlembagaan untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia yang mempunyai pasangan warga asing.

Dia bertanya sama ada isu itu antara pembaharuan yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat.

"tak betul kalau isu penukaran agama sepihak seorang bapa (atau ibu) tukar agama kemudian tarik anaknya (peluk agama sama).

"Saya punya pendirian, apa sekalipun, jawabnya tidak boleh, dan bapa tidak berhak tukar agama anaknya melainkan rundingan dengan isteri," katanya dalam perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Memetik kes Indira Ghandi dan Loh Siew Hong, Nazri berkata ia memberikan imej buruk kepada Islam, agama yang menyokong keadilan.

“Sebagai seorang Muslim, saya tidak berbangga dengan perkara seperti ini,” katanya.

"Malaysia, yang (mengiktiraf) Islam sebagai agama rasminya, bertanggungjawab menjaga hak minoriti. Kita sebenarnya menindas minoriti jika kita tidak berbuat apa-apa mengenainya," katanya sambil menambah isu itu boleh menimbulkan ketakutan kepada golongan bukan Melayu.

Justeru, Nazri bertanya adakah kerajaan akan meminda perlembagaan bagi meminda tafsiran perkataan ‘ibu bapa’.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan versi Melayu yang mentafsirkan 'ibu bapa' sebagai "ibu atau bapa" perlu diperbetulkan untuk menghentikan penukaran agama secara sepihak dan mencerminkan keputusan mahkamah.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan dalam kes penukaran agama sepihak membabitkan anak-anak guru tadika M Indira Gandhi bahawa Perlembagaan Persekutuan memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa untuk menentukan agama anak-anak mereka.

Susulan itu, beberapa penukaran agama sepihak terus berlaku, termasuk kes terbaru membabitkan ibu tunggal Loh Siew Hong.

Menyentuh isu kewarganegaraan, Nazri bertanya: “Saya ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan supaya kerakyatan diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang mempunyai pasangan asing."

Nazri turut bertanya sama ada kerajaan akan meminda undang-undang untuk mencerminkan keputusan kes Mahkamah Tinggi.

Pada 9 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan bahawa anak-anak ibu Malaysia yang dilahirkan di luar negara harus dianugerahkan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Wan Junaidi, bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun, memuji keputusan itu.

Rayuan yang difailkan oleh kerajaan telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada Disember lalu.