Skip to main
Logo Malaysiakini

Hisham ada pandangan tersendiri mengenai kempen Najib di Johor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Kegiatan kempen bekas perdana menteri Najib Razak dalam PRN Johor telah mencetuskan pertikaian sama ada individu yang disabitkan dengan kesalahan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa menjadi kelebihan atau menjejaskan BN.

Pemimpin yang menyambut baik perkara itu antaranya Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang berkata dia sendiri mengatur kunjungan Najib tetapi sepupunya sendiri, Hishammuddin Hussein dilihat sedikit berbeza.

Apabila ditanya jika kehadiran Najib akan memberi kesan kepada kempen BN, reaksi spontannya adalah "saya tidak tahu", tetapi menambah setiap pertolongan dapat membantu.

"Paling penting semua orang mahu membantu. Sama ada kontroversi atau tidak bergantung kepada individu yang melihatnya.

"Apa yang penting sekarang ini bukanlah orang yang ada di luar sana, 'spin' di media sosial atau apa sahaja kontroversi yang mereka mahu cipta.

"Apa yang penting ialah pengundi yang akan membuat keputusan di (DUN) Paloh dan Kahang," kata Ahli Parlimen Sembrong itu.

Hishammuddin menyertai kempen BN hari ini dengan mengiringi calon MCA bagi DUN Paloh, Lee Ting Han. Paloh dan Kahang adalah DUN dalam kawasan Parlimen Sembrong.

Hishammuddin menjadi ahli Parlimen sejak kerusi itu diwujudkan pada 2004.

“Jika anda bukan pengundi di sini, tidak penting apa yang diperkatakan di media sosial atau kontroversi yang diperkatakan oleh mana-mana individu," katanya, sambil menambah keutamaannya ialah memastikan kempen yang positif dan membina.

“Bagi jentera saya, saya sudah berpesan agar mereka tidak melakukan sebarang kempen negatif.

"Kami tidak mahu situasi di mana kami menang tetapi (rakyat) berpecah di kawasan yang berbilang kaum seperti Sembrong, Kahang dan Paloh," katanya.

Setelah BN tewas dalam PRU 2018, Hishammuddin tidak memegang jawatan utama dalam Umno. Pernah menjadi naib presiden, dia memilih untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti selepas PRU tersebut.

Namun dia antara yang didakwa sebagai antara pemimpin Umno yang mengadakan rundingan dengan Bersatu untuk menubuhkan kerajaan baru, bagi menggantikan kerajaan PH.

Dia kembali ke dalam kabinet apabila dilantik sebagai menteri luar semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin dan kemudian sebagai menteri pertahanan di bawah Ismail Sabri Yaakob.

Selain Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, dia juga dilihat berpotensi menjadi calon presiden Umno pada masa hadapan.

Ini di saat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi, sebuah pertubuhan kebajikan yang diasaskannya.

Najib pula dalam proses rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib dilihat sehaluan dengan Zahid. Walaupun ada pihak yang ingin membataskan peranan pemimpin yang berdepan perbicaraan di mahkamah, para pemimpin ini - yang dirujuk sebagai "kluster mahkamah" - dilihat bertekad untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Mereka telah cuba menyingkirkan Perikatan Nasional daripada tampuk kuasa supaya BN boleh kembali mendominasi, termasuk menggulingkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri tahun lalu.

Hishammuddin bukan sebahagian daripada kumpulan itu.

[Baca berita asal]