Banjir: Jenazah terpaksa dibawa dengan bot bomba untuk dikebumi
Jenazah seorang warga emas dari Kampung Kajang Sebidang di Tumpat, Kelantan terpaksa dibawa menggunakan bot hampir dua kilometer dari rumahnya untuk dikebumikan petang semalam, berikutan kawasan penempatan itu dilanda masih dilanda banjir sejak Ahad lepas.
Shahril Mohd Othman,19, berkata datuknya Sulong Ahmad,88, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 10 pagi semalam dan jenazah dibawa keluar dari kampung itu pada dua petang menggunakan bot Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor.
Shahril berkata perancangan awal untuk mengebumikan datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang juga terpaksa ditukar ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Jal Kechik disebabkan kawasan itu digenangi air.
“Kami menghubungi pihak berkuasa sekitar 12 tengah hari tadi (semalam) untuk meminta bantuan bot bagi membawa keluar jenazah dari kediaman kami menuju ke Kampung Jejulok kerana van jenazah menunggu di sana," katanya kepada pemberita di Kampung Jejulok, Tumpat semalam.
Jenazah yang tiba kira-kira 3.45 petang itu kemudian turut diusung oleh Ahli Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi yang kebetulan hadir untuk mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ketua BBP Pengkalan Kubor Raja Arisansahseni Raja Semail berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 12.20 tengah hari semalam daripada ahli keluarga Allahyarham Sulong untuk memohon bantuan bot.
“Pihak kami terpaksa menunggu keputusan ujian calitan Covid-19 terlebih dahulu sebelum menghantar dua anggota dengan sebuah bot bagi membawa jenazah.
“Operasi ini telah menjadi tugas khas kami terutama ketika banjir seperti yang berlaku sekarang," katanya lagi.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai