Skip to main
Logo Malaysiakini

Tentera Rusia masuk ke bandar pelabuhan Kherson di Laut Hitam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Pelabuhan Kherson merupakan ibu kota wilayah selatan Ukraine yang terletak dalam kedudukan strategik.

Tentera Rusia berada di Kherson di Ukraine dan memaksa masuk ke dalam bangunan dewan bandaraya itu, kata datuk bandar berkenaan.

Ini sehari selepas tuntutan bercanggah sekiranya Moscow telah mencapai kemaraan besar pertama dengan menguasai sebuah bandar dalam pencerobohannya yang bermula lapan hari lalu.

Serangan Moscow terhadap jirannya masih belum menggulingkan kerajaan Ukraine di ibu negara Kyiv tetapi beribu-ribu orang dianggap telah maut atau cedera dan ia boleh menyebabkan satu lagi kesan buruk kepada ekonomi global yang masih belum pulih akibat wabak koronavirus.

Serangan terbesar ke atas negara Eropah sejak 1945 itu telah menyebabkan lebih 870,000 orang melarikan diri, membawa kepada sekatan bertubi-tubi terhadap Rusia dan mencetuskan kebimbangan konflik yang lebih meluas di Barat yang tidak pernah terlintas selama beberapa dekad.

Pelabuhan Kherson di Laut Hitam, ibu kota wilayah selatan dengan kira-kira 250,000 orang, terletak dalam kedudukan strategik di mana Sungai Dnipro mengalir ke Laut Hitam dan akan menjadi bandar penting pertama yang jatuh ke tangan Moscow.

Kementerian Pertahanan Rusia berkata pada pagi Rabu tenteranya telah menakhluki Kherson tetapi beberapa jam kemudian seorang penasihat kepada Presiden Volodymyr Zelenskiy menjawab bahawa pihak Ukraine terus mempertahankan wilayah itu.

Pada lewat hari Rabu, Datuk Bandar Kherson Igor Kolykhayev berkata tentera Rusia berada di jalan-jalan di wilayah itu.

"Terdapat pelawat bersenjata dalam jawatankuasa eksekutif bandar hari ini," katanya pada satu kenyataan.

"Pasukan saya dan saya adalah orang yang aman - kami tidak mempunyai senjata dan tidak ada serangan daripada pihak kami."

“Saya tidak berjanji dengan mereka... saya cuma minta mereka jangan tembak orang awam,” tulisnya.

Rusia menggelar tindakannya di Ukraine sebagai "operasi khas" yang tidak dirancang untuk menduduki wilayah tetapi untuk memusnahkan keupayaan ketenteraan negara jirannya dan menangkap apa yang dianggapnya sebagai 'nasionalis berbahaya'. Ia menafikan menyasarkan orang awam.

- Reuters