Skip to main
Logo Malaysiakini

Siasatan polis ke atas Azam Baki masih berterusan - Hamzah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan berhubung pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya, SPRM, Azam Baki, meskipun siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atasnya sudah ditutup.

"Setakat ini, siasatan masih berterusan.

“Sehubungan itu, kementerian tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berhubung kes ini supaya tidak mengganggu siasatan yang masih berlangsung," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Hamzah menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang mahu tahu jika siasatan terhadap Azam berkenaan isu pemilikan saham atas namanya masih berjalan, biarpun SC sudah memuktamadkan dan menutup siasatan.

Menurut Hamzah, siasatan yang masih diteruskan itu adalah berkait Dang Wangi report 396/2022 bertarikh 6 Januari lalu, dengan membuka Kertas Enkuiri Polis.

Azam pada sidang media sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat, termasuk syarikat konglomerat.

Alasannya adalah akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Nasir Baki. Azam juga mendakwa tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

SC sebelum ini mengumumkan bahawa siasatannya tidak dapat memastikan secara konklusif Azam melanggar undang-undang berhubung pemilikan sahamnya mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Namun SC juga menjelaskan bahawa Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun dagangannya sendiri dan telah menggunakannya untuk berdagang saham.

Azam mencuri tumpuan susulan pendedahan pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad susut kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016. Namun ia bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Dia juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham berkenaan pada 2015 dan 2016 telah menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam atau sebaliknya dan kebimbangan berlaku konflik kepentingan.