Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib cadang k'jaan bayar pinjaman 1MDB lebih awal elak kos faedah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak menyoal mengapa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak membayar bon 1MDB sebelum tarikh matangnya untuk menjimatkan kos faedah.

Najib yang sebelum ini pernah menjadi menteri kewangan berkata jika kerajaan menggunakan dana yang diperoleh daripada Goldman Sachs, Jabatan Kehakiman AS, Ambank, KPMH dan Deloitte, maka ia boleh melunaskan bon tersebut.

"Kesemua ini yang berjumlah hampir RM23 bilion, bukanlah wang rakyat. Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB," tulis Najib pada hantaran di Facebook hari ini.

1MDB ialah syarikat milik Kementerian Kewangan yang bermula pada 2009 ketika Najib menjadi perdana menteri dan menteri kewangan. Ia mengumpul berbilion ringgit melalui beberapa terbitan bon dari 2009 hingga 2013.

Setakat 31 Dis tahun lepas, Malaysia telah membayar RM13.3 bilion hutang 1MDB, dengan RM38.81 bilion masih belum dijelaskan.

Tidak pasti jika mana-mana bon ini mempunyai peruntukan untuk membenarkan prinsipal hutang itu dibayar sebelum matang seperti yang dicadangkan oleh Najib.

Semalam, Najib selaku ahli parlimen Pekan mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat apabila menegaskan wang cukai tidak digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.

Sementara itu, Najib hari ini mencadangkan Putrajaya tidak membayar bon AS$3.5 bilion yang akan matang pada hujung tahun ini.

"Kerajaan Malaysia ada pilihan bagi 1MDB tidak bayar balik bon USD3.5 bilion tahun ini.

"Oleh itu, IPIC perlu membuat pembayaran tersebut disebabkan mereka yang menjamin," katanya.

Menurut Najib, ini akan menghasilkan "penjimatan" sebanyak RM15 bilion. Apabila "ditambah" kepada RM23 bilion yang disebutkan di atas, Najib berkata kerajaan akan mempunyai baki RM38 bilion.

"RM38 bilion ini sudah cukup untuk jelaskan segala prinsipal dan faedah 1MDB," katanya.

Bon AS$3.5 bilion itu merujuk kepada dua bon yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (1Mell) dan 1MDB Energy Limited (1Mel).

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Najib pada Januari lalu telah mengesahkan bahawa Ipic bukanlah penjamin bon AS$1.75 bilion yang dikeluarkan oleh 1Mel.

Najib juga menegaskan dakwaannya itu bahawa projek Bandar Malaysia dan TRX masing-masing bernilai RM140 bilion dan RM40 bilion dalam "jangka panjang."

"Ini bukan sahaja boleh membayar balik segala hutang 1MDB dengan faedahnya tetapi akan juga menjana keuntungan yang lumayan," katanya.