Skip to main
Logo Malaysiakini

Majoriti kematian di luar hospital tak tahu dijangkiti Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menggesa orang ramai agar segera mendapatkan rawatan untuk warga emas sebaik saja mereka menunjukkan sebarang gejala Covid-19.

Ia selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati majoriti kes kematian tanpa rawatan hospital (brought in dead, BID) melibatkan mereka yang tidak tahu telah dijangkiti virus itu.

Kes kematian seumpama itu meningkat secara konsisten kepada dua angka sejak pertengahan Februari, dengan kemuncaknya pada 18 Februari dengan 22 kematian.

Dalam sidang media hari ini, Khairy memaklumkan hampir semua daripada 113 kes BID yang dilaporkan antara 5 hingga 21 Februari adalah mereka yang tidak dikesan mengidap Covid-19.

“Kita telah buat analisis daripada 5 hingga 21 Frbruari. 91 peratus daripada 113 kes BID tidak tahu mereka ada Covid-19.

“Mereka hanya dikenal pasti positif apabila post mortem selepas meninggal dunia,” katanya.

Menurut gambar yang ditunjukkan Khairy, Sabah melaporkan kes BID tertinggi bagi tempoh itu. Kesemua 36 kes BID di negeri itu tidak dikesan positif.

Selangor pula di tempat kedua dengan 25 kes BID, dan 19 kes daripadanya juga tidak dikesan telah dijangkiti wabak tersebut.

Padang serius gejala

Mengulas lanjut, Khairy berkata anggota keluarga kepada lebih separuh kes BID tidak sedar wabak itu menjadi punca kematian keluarga mereka.

“Melalui tinjauan kita, lebih 50 peratus ahil keluarga atau waris mereka yang anggap sakit yang dialami ahli keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah sakit ringan dan mereka tak rujuk kepada kemudahan kesihatan dengan segera.

“Apabila sudah dikesan (dijangkiti Covid-19), sudah terlambat dan mereka telah meninggal dunia di rumah atau di luar kemudahan kesihatan,” katanya lagi.

Justeru, Khairy menasihatkan orang ramai untuk bertindak segera selepas munculnya gejala, dan tidak menunggu gejala itu memburuk.

“Terutama mereka ada ibu bapa atau ahli keluarga warga emas.

“Kalau ada apa-apa gejala, contohnya demam tinggi atau batuk berterusan, tolong dapatkan bantuan perubatan segera. Bawa (mereka) ke kemudahan kesihatan secepat mungkin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairy berkata kira-kira 350,000 warga emas yang menerima vaksin Sinovac tidak mengambil dos penggalak.

Ini menyebabkan mereka berdepan risiko jangkitan serius dan kematian yang lebih tinggi, katanya.

“Omicron tidak seteruk Delta tetapi bagi warga emas dengan komorbiditi, ia bukan penyakit yang ringan. Ia masih penyakit yang boleh mengancam nyawa,” katanya lagi.

Minggu lalu, Khairy mengumumkan warga berusia 60 tahun dan penerima Sinovac diberi tempoh sehingga 31 Mac untuk mendapatkan dos penggalak jika tidak mahu kehilangan status “vaksinasi penuh”.