Skip to main
Logo Malaysiakini

Khairy jumpa ibu bapa remaja mati lepas terima vaksin esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa mendiang Revnesh Kumar Naresh Kumar esok bagi menyerahkan laporan forensik anak mereka.

Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat punca kematian sejak remaja berusia 13 tahun itu meninggal dunia pada 16 Januari lalu, 18 hari selepas suntikan pertama vaksin Covid-19.

Dalam sidang media hari ini, Khairy menjelaskan penangguhan itu disebabkan keperluan mengadakan ujian yang lengkap.

“Ini disebabkan kita nak pastikan siasatan lengkap, bukan sekadar bedah siasat selepas kematian tetapi juga menghantar sampel darah dan tisu ke makmal.

“Kita juga tunggu laporan dari Jabatan Kimia yang kita terima hari ini. Sebab itu esok saya akan jumpa dengan ibu bapa beliau,” kata Khairy.

Katanya lagi, KKM tidak akan memnbuka laporan bedah siasat Revnesh kepada orang awam kecuali ibu bapa mendiang memberi kebenaran. 

Dia juga memberi jaminan Jawatankuasa Farma-kovigilans Khas Vaksin Covid-19 akan meneliti laporan bedah siasat. Jawatankuasa itu bertanggungjawab terhadap kes kesan advers susulan imunisasi (AEFI).

Terdahulu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa KKM untuk mengadakan siasatan secara telus dan membentangkan laporan forensik kematian Revnesh.

Susulan kematian remaja itu, ibu bapanya dalam satu video yang telah tular merayu kepada orang ramai agar menimbang semula hasrat untuk vaksinasi anak mereka.