Skip to main
Logo Malaysiakini

Konflik Rusia-Ukraine: Penganalisis jelaskan reaksi 'lembut' Asia Tenggara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Amerika Syarikat, Eropah dan banyak negara lain menunjukkan reaksi tegas terhadap konflik Rusia-Ukraine, tidak sekadar mengutuk Rusia tetapi juga mengenakan sekatan ke atas negara bekas Komunis itu.

Namun selepas seminggu operasi ketenteraan Rusia di Ukraine, respons tegas daripada rantau Asia Tenggara masih belum kedengaran sehingga kini.

Sehingga Khamis, hanya Singapura dan Indonesia yang mengutuk sekeras-kerasnya operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine sejak 24 Feb. Negara-negara lain di rantau ini menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan di Ukraine dan mengharapkan penyelesaian secara aman. Bagaimanapun, mereka mengelak daripada mengutuk Rusia atau mengambil tindakan tegas seperti mengenakan sekatan.

Walaupun Menteri-menteri Luar ASEAN mengeluarkan kenyataan bersama pada Ahad lalu, menyatakan kebimbangan mendalam mereka terhadap situasi di Ukraine dan menyeru semua pihak menyelesaikan pertikaian mereka secara aman, namun ia dilihat sebagai satu kenyataan yang sopan dan lembut.

Seorang penyelidik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Gilang Kembara, berkata respons negara-negara Asia Tenggara mencerminkan pendirian bukan berpihak yang diterima pakai sejak merdeka daripada penjajah dengan mempelbagaikan rakan keselamatan atau dagang mereka demi kepentingan negara masing-masing.

"Saya faham bahawa terdapat beberapa negara anggota yang masih tidak pasti mahu berpihak kepada siapa atau sekurang-kurangnya mereka mahu kekal berkecuali..., kerana itulah cara kita bertindak selama ini.

“ASEAN boleh membantu Ukraine dengan mula menyediakan bantuan kemanusiaan, seperti makanan, air, bekalan perubatan, dan lain-lain kepada rakyat Ukraine yang menjadi pelarian domestik,” kata penganalisis Indonesia itu.

Beliau bercakap pada forum mengenai Wilayah Indo-Pasifik Pelbagai Hala dan Inklusif: Strategi dan Peluang Eropah untuk Malaysia dan Asia Tenggara, yang diadakan secara maya pada Isnin. Forum itu dianjurkan oleh Institut Maritim Malaysia (MIMA) dengan kerjasama Kedutaan Perancis di Malaysia.

Gilang turut menyatakan kebimbangannya bahawa tindakan Presiden Rusia Vladimir Putin mungkin mendorong pemimpin yang berfikiran autoritarian misalnya di rantau Indo-Pasifik, atau mungkin juga di luar wilayah itu untuk bertindak sepertinya dalam memenuhi cita-cita mereka.

Beliau berkata wujud kebimbangan bahawa perang di Ukraine akan menghakis tumpuan kuasa-kuasa asing di Indo-Pasifik, sama ada Perancis, mana-mana kuasa Eropah atau Amerika Syarikat, yang tumpuan mereka kemungkinan beralih ke Eropah.

"Apa yang berlaku di Ukraine sepatutnya menyedarkan negara-negara Asia Tenggara yang lain mengenai kemungkinan itu, bahawa terdapat kuasa autoritarianisme yang akan meluaskan cita-cita mereka dengan mengorbankan negeri-negeri kecil lain," katanya.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis lalu mengumumkan "operasi ketenteraan khas" di Ukraine dengan tentera Rusia menawan banyak pekan dan bandar Ukraine.

Rundingan antara pegawai Ukraine dan Rusia pada Isnin di sempadan Ukraine-Belarus tidak menemui titik persetujuan dalam menghentikan konflik itu.

- Bernama