Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang kerumun Najib sebab nak tengok 'perompak', kata Muhyiddin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berpandangan sambutan hangat diterima bekas perdana menteri Najib Razak dalam kempen di Johor tidak semestinya tanda sokongan.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata orang mengerumuni Najib mungkin kerana mahu melihat dengan sendiri wajah “perompak” yang terpalit dengan skandal besar dan telah memalukan negara.

Dia merujuk kepada sabitan bersalah terhadap Najib dalam tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Dia kini dalam proses rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atasnya.

“Nak tengok dekat-dekat betul ke dia ni perompak? Betul ke dia ni yang dah dijatuhkan hukuman? Jadi jangan kita andaikan kerana ramai datang kerana suka. Ramai datang nak tengok muka sebenarnya.

“Adakah ini orang yang telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, terbabit dalam kes SRC, orang ini juga yang naik turun ke mahkamah untuk perbicaraan belum selesai.

“Bagi saya ini adalah satu perkara yg amat memalukan. Jadi kalau ramai keluar tu, dia rasa seronoklah. Tapi biasa kita sebut, patut dia ada rasa malu. Tak payah saya sebut lagilah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Hotel Impiana, selepas Majlis Ikrar dan Tandatangan Calon Perikatan Nasional untuk PRN Johor.

Majlis itu menyaksikan kesemua calon PN untuk PRN Johor melafaz ikrar dan sumpah antirasuah sebagai komitmen gabungan itu untuk membentuk pentadbiran berintegriti.

Najib turun ke Johor beberapa hari lalu bagi membantu kempen MCA.

Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsi ke media sosial Najib, dia nampaknya disambut hebat oleh kaum Cina di tempat-tempat yang dikunjunginya, dengan banyak penduduk mengambil kesempatan bergambar atau merakam video bersamanya.

Namun, lawatan itu dikritik sesetengah pihak memandangkan Najib sebelum ini telah disabitkan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes SRC dan sedang dalam perbicaraan untuk kes 1MDB.

Nama Najib juga disebut dalam keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara Tim Leissner yang menjadi saksi dalam perbicaraan berkaitan 1MDB di mahkamah Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan rakyat Johor untuk menilai nilai baik yang dibawa gabungannya dan berharap PN akan menjadi pilihan yang mendapat sokongan warga Johor.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengetuai kempen gabungan itu dalam PRN kali ini.