Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dia buat salah, dia jadi bosku' - Dr M mula kempen di Johor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Dr Mahathir Mohamad memulakan kempennya di Johor dengan menyasarkan bekas perdana menteri Najib Razak, yang menurutnya cuba menutup jenayahnya berkaitan skandal 1MDB.

Pengerusi Pejuang itu, yang menyertai kempen di sebalik peringatan doktor berkenaan risiko kesihatan ekoran wabak Covid-19, berkata dia terpanggil untuk bertindak kerana kian bimbang dengan PRN Johor.

Ketika kempen bermula, Najib membuat beberapa kunjungan berprofil tinggi di mana dia kelihatan menerima sambutan yang baik, meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang kekal popular di sebalik sabitan terhadap kesalahan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Berucap di depan kira-kira 70 hadirin di Felda Ayer Hitam dalam DUN Machap hari ini, Mahathir turut mengecam Najib kerana menutup keadaan hutang yang berpunca daripada skandal itu, yang yang perlu ditanggung negara.

Di bawah pentadbiran Najib, 1MDB menerbitkan bon berbilion ringgit, dengan sejumlah besar daripadanya diselewengkan. Siasatan turut menunjukkan ada yang disalurkan ke akaun peribadi Najib.

Salah satu bon tersebut dijadual mencapai tempoh matang tahun ini.

Malaysia perlu mengeluarkan AS$1.75 bilion (RM7.27 bilion) untuk membayar prinsipal bagi bon 1MDB Energy Ltd paling lewat Mei 2022, dan AS$1.75 bilion untuk bon 1MDB Energy (Langat) Ltd paling lewat Oktober 2022.

Kemudian pada Mac 2023, Malaysia perlu membayar AS$3 bilion (RM12.46 bilion) lagi untuk bon 1MDB Global Investments Ltd.

Ini tidak termasuk bayaran kupon (faedah untuk bon) yang lebih tinggi daripada pasaran yang dibayar negara.

Jejas usaha bangunkan negara

Semalam, Najib di Dewan Rakyat mendakwa tiada satu sen pun dana awam digunakan untuk membayar hutang 1MDb kerana ia dibayar menerusi usaha mendapatkan semula dana syarikat itu.

Ini termasuk penyelesaian yang dicapai dengan Goldman sachs, atas peranannya dalam penyelewengan hasil bon 1MDB selain beberapa lagi institusi perbankan dan perakaunan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kemudian menyangkal dakwaan itu dengan berkata dan awam telah digunakan untuk membayar faedah hutang.

Ketika memimpin negara, Najib enggan mengakui penyelewengan yang berlaku dalam syarikat itu. Usaha mendapatkan semula dana dan aset hanya bermula setelah kekalahan BN pada 2018.

Kerajaan sebelum ini menyatakan sebahagian dana 1MDB yang diperolehi semula hanya cukup untuk membayar hutang bagi tahun ini.

Dalam ucapannya hari ini Mahathir berkata dia berasa jengkel dengan dakwaan Najib yang dana awam tidak digunakan untuk hutang 1MDB.

“Inilah Najib. Dia hutang, dia tak bayar tapi curi (lagi) duit dan tambah lagi hutang,” katanya.

Hakikatnya, kata Mahathir, pembayaran hutang untuk wang 1MDB yang diselewengkan telah membataskan usaha membangunkan negara.

‘Najib luar biasa’

Selain menggelarnya “bodoh”, Mahathir turut menyifatkan keboleh Najib untuk menjustifikasikan dakwaan penyelewengannya sebagai “luar biasa”.

“Najib manusia luar biasa. Dia curi duit depan kita lepas itu dia kata dia tak curi.

“Selepas disabit (bersalah), dia cakap ‘apa nak malu?’,” katanya lagi kepada hadirin, yang kebanyakannya ahli Pejuang dan sejumlah penduduk tempatan.

Kata Mahathir, ketiadaan rasa malu atas tindakan yang salah akan merosakkan masyarakat.

“Masyarakat perlu malu bila buat salah, tapi Najib tidak. Dia buat salah, dia jadi bosku.”

Mahathir berkata individu seperti Najib perlu dihalang daripada memiliki sebarang pengaruh dalam kerajaan.

Terdahulu, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir menyuarakan kebimbangan terhadap bapanya.

“Kita berhati-hati kerana faktor usia. Dia sudah 97 tahun dan baru sahaja sembuh setelah dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Dia belum pulih 100 peratus dan kita di tengah wabak Covid-19. Orang berusia lebih terjejas dengan Covid-19,” katanya.

Namun, kata Mukhriz, Bapanya itu bertegas untuk menyertai kempen di Johor kerana tidak ingin lagi sekadar menulis kenyataan dan surat terbuka.

“Kita harap kehadirannya di Machap akan beri impak besar di Johor,” katanya lagi.

Rakyat Johor akan membuat pilihan mereka pada 12 Mac ini.