Skip to main
Logo Malaysiakini

Jumlah kerugian 1MDB masih tak dapat ditentukan - Kementerian Kewangan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tahap kerugian 1MDB masih tidak dapat ditentukan, meski lebih lima tahun selepas juruaudit baru, Parker Randall, dilantik.

Menurut jawapan bertulis Kementerian Kewangan, kelewatan itu adalah kerana juruaudit lama KPMG (untuk tahun 2010, 2011 dan 2012) dan Deloitte (tahun 2013 dan 2014) telah menarik balik laporan masing-masing.

“Oleh itu, jumlah kerugian 1MDB setakat ini tidak dapat ditentukan,” kata kementerian itu dalam jawapan semalam kepada Wong Kah Woh (Pakatan Harapan-Ipoh Timur).

Parker Randall dilantik sebagai juruaudit pada 5 Jan 2017. Firma itu adalah yang keempat meneliti akaun 1MDB sejak 2009.

Deloitte dan KPMG bersetuju dengan penyelesaian RM336 juta masing-masing atas kegagalan mereka dalam tugas fidusiari semasa mengaudit 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Wong telah menuntut daripada Kementerian Kewangan menjelaskan jumlah aset 1MDB yang telah diperoleh semula dan dan jumlah kerugian bagi syarikat itu.

Menurut Kementerian Kewangan, RM19.14 bilion telah diperoleh semula setakat ini dan dimasukkan ke dalam akaun amanah pemulihan aset.

Selain daripada penyelesaian dengan KPMG dan Deloitte, dana itu diperoleh daripada Jabatan Kehakiman AS (RM5.17 bilion), Goldman Sachs (AS$2.5 bilion atau RM10.5 bilion) dan AmBank (RM2.315 bilion).

Goldman Sachs pada 2020 telah bersetuju dengan penyelesaian AS$3.9 bilion, yang mana AS$2.5 bilion dalam bentuk tunai dan AS$1.4 bilion dalam aset.

Status pemulihan aset AS$1.4 bilion pada masa ini tidak diketahui.

Semalam, Dewan Rakyat diberitahu bahawa hutang 1MDB berjumlah RM38.5 bilion, yang mana RM6.5 bilion adalah kos faedah.

Penyiasat AS dan Malaysia mendakwa bahawa kebanyakan dana yang dikumpul oleh 1MDB sejak 2009 telah diseleweng.

1MDB adalah cetusan idea bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.

Dia telah disabitkan dengan pengubahan wang haram berhubung dengan SRC International - bekas anak syarikat 1MDB - dan kini dibicarakan kerana pengubahan wang haram melibatkan 1MDB.