Skip to main
Logo Malaysiakini

Khaled: Tandingi 37 kerusi, apa-apa berlaku Umno kuat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Berbeza dengan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, formula BN memastikan kestabilan kerana satu parti menjadi teras dan mengatasi yang lain, kata Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.

Khaled berkata PH dan PN sebaliknya tidak mempunyai parti yang dominan dan oleh itu mereka lebih cenderung untuk bertelagah.

"Lihat jumlah kerusi yang BN bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Walaupun 50 peratus daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah 28, tetapi Umno tidak bertanding 28 kerusi. Umno bertanding 37, MCA, 15 manakala MIC, empat.

"Sekiranya apa-apa berlaku, Umno kuat," jelasnya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Sebagai perbandingan, Khaled yang juga bekas pengerusi Umno Johor berkata formula PH pula memperuntukkan 20 kerusi untuk PKR, 16 untuk Amanah dan 14 lagi untuk DAP.

"Jadi, tak ada siapa yang lebih 28 dan tiada parti teras.

“Sekiranya apa-apa berlaku daripada keputusan 12 Mac ini, DAP boleh tarik Amanah supaya lebih kerusi daripada PKR dan PKR boleh tarik (kerusi) Amanah lebih daripada DAP," katanya.

Dia berkata situasi sama juga terjadi dengan PN kerana Bersatu hanya meletakkan 30 calon.

Mempunyai Umno sebagai teras BN, kata Khaled, tidak menghakis asas berbilang kaum di Malaysia.

"BN mengambil pendekatan integrasi (dalam pembinaan negara bangsa), bukan asimilasi. Ada kaum Cina, India dan Melayu. Kita tidak suruh Melayu jadi Cina atau India.

"Kita juga tak cuba nak bangunkan satu nilai rojak, tidak.

“Melayu kekal Melayu, tetapi kita boleh bersama untuk mendukung satu-satu matlamat seperti pembangunan, keselamatan untuk kepentingan negara," katanya.