Skip to main
Logo Malaysiakini

Konflik Rusia-Ukraine dijangka lonjak harga tenaga

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

GLOBAL | Konflik ketenteraan Rusia-Ukraine dijangka melonjakkan harga tenaga, khususnya di Eropah dengan inflasi berkaitan diunjur dilepaskan menerusi pelbagai produk dan perkhidmatan berintensifkan tenaga, menurut Moody’s Analytics.

Ahli Ekonomi Kanannya Tim Uy berkata ini berikutan kedudukan Rusia yang menguasai 12 peratus daripada bekalan minyak dunia serta 17 peratus gas asli.

“Negara itu juga merupakan pembekal utama paladium dan gandum manakala Ukraine menyumbang sebahagian besar daripada bekalan (gas) neon dunia.

“Oleh itu, dari segi penilaian risiko negara, impak buruk paling ketara di kebanyakan negara Eropah adalah yang negara penerima hasil minyak dan gas asli Rusia.

"Ini kerana penghantarannya dilakukan secara darat dan sebarang usaha mendapatkan sumber alternatif adalah mencabar, terutama dalam tempoh singkat ini,” katanya dalam analisis mengenai impak krisis Rusia-Ukraine ke atas rantaian bekalan global.

Uy berkata risiko terbesar dihadapi rantaian bekalan global juga telah beralih daripada pandemik Covid-19 kepada konflik ketenteraan Rusia-Ukraine serta ketidakpastian geopolitik dan ekonomi yang berpunca daripada krisis tersebut.

“Amerika Syarikat misalnya tidak bergantung kepada import langsung tenaga dari Rusia atau Ukraine, namun berdepan pendedahan tidak langsung menerusi barangan dan perkhidmatan yang diimport dari Eropah serta Asia yang dihasilkan menggunakan tenaga Rusia.

“China dan India lebih banyak terdedah kepada tenaga Rusia, namun susulan sekatan ke atas eksport Rusia di serata dunia, negara-negara yang ada kontrak dengan Rusia akan mempunyai kuasa menawar dalam rundingan dan dijangkakan tidak mengalami peningkatan harga yang ketara,” katanya.

Menyentuh risiko terhadap industri, Uy berkata industri semikonduktor dijangka terjejas berikutan masalah kekurangan cip global ketika pandemik akibat faktor kerja secara jarak jauh dan mobiliti atau pergerakan yang menyebabkan lonjakan pendigitalan di seluruh dunia.

“Paladium dan neon merupakan dua sumber utama pengeluaran cip semikonduktor.

"Oleh kerana Rusia membekalkan lebih 40 peratus bekalan paladium dunia manakala Ukraine menghasilkan 70 peratus bekalan neon global, kita boleh menjangkakan kekurangan cip global akan bertambah buruk jika konflik ketenteraan tersebut berterusan,” katanya.

Selain itu, industri pengangkutan juga terjejas kerana mempunyai intensiti tenaga tertinggi dalam kalangan industri utama.

Malah, sebelum konflik itu berlaku, pandemik telah menyebabkan kos penghantaran melonjak lebih 300 peratus pada tahun lepas berikutan penutupan sempadan dan pelabuhan yang menyebabkan kontena terkandas di pelabuhan di serata dunia.

“Walaupun kos ini telah turun daripada tahap tertingginya pada akhir tahun lepas, ia sebaliknya kekal meningkat dan akan terus melonjak akibat kekurangan kontena baharu,” katanya.

Uy turut menjangkakan konflik ketenteraan itu pasti meningkatkan keadaan inflasi di kebanyakan negara yang sememangnya ketara dan berkemungkinan besar disusuli dengan tindakan bank-bank pusat memperketat langkah berkaitan seperti menaikkan kadar faedah dan pertumbuhan lebih perlahan.

“Dalam aspek ini, konflik terbabit mendatangkan kesan lebih meluas; tidak hanya menyebabkan negara-negara utama mempertimbang semula strategi keselamatan tenaga dan daya tahan rantaian bekalan, namun implikasi buruk ke atas syarikat dan pengguna yang tiada kaitan langsung dengan keadaan tersebut menerusi peningkatan harga dan kadar faedah lebih tinggi.

“Kesan daripada impak ekonomi konflik ketenteraan Rusia-Ukraine ke atas rantaian bekalan global akan bergantung kepada selama mana ia berlaku - aspek inventori dan rizab boleh membantu mengurangkan gangguan rantaian bekalan jangka pendek namun kekurangan terbabit tidak dapat dielakkan sekiranya konflik berterusan," katanya.

- Bernama