Skip to main
Logo Malaysiakini

Sekatan antarabangsa akan dorong Moscow cari pakatan baru

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan banyak negara lain mengumumkan sekatan terhadap Rusia, dengan harapan Moscow akan mempertimbangkan semula pencerobohannya ke atas Ukraine.

Bagaimanapun, seorang penganalisis geopolitik memberi amaran tindakan itu mungkin tidak berhasil seperti yang diharapkan dengan Moscow terus mempergiatkan serangannya di negara Eropah timur itu.

Penolong Profesor di Pusat Pengajian Politik, Sejarah dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham, Malaysia Benjamin Robin Barton berkata, sebaliknya, sekatan itu boleh mendorong Moscow menyusun semula dasar negaranya untuk kelangsungan ekonomi melangkaui negara-negara yang bersepakat dengan Barat.

Menurut beliau, Rusia akan terus kekal antara kuasa besar dunia walaupun sekatan itu boleh memudaratkan keupayaannya untuk menggunakan kuasa dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, Barat memilih untuk mengenakan sekatan, kerana ia merupakan tindakan yang boleh dipercayai dan tidak ganas terhadap provokasi Rusia.

“(Tetapi) Ada kalanya kepimpinan autoritarian berkembang dengan sekatan. Sekatan boleh mencetuskan dua keadaan- sama ada melemahkan ekonomi negara atau pemimpin negara itu menjadikannya bukti agenda barat terhadap Rusia,” katanya dalam satu temubual dengan Bernama.

Sejak Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan operasi ketenteraan berskala penuh ke atas Ukraine pada pagi 24 Feb, negara-negara di seluruh dunia yang dipimpin oleh AS mengumumkan sekatan dan tekanan ekonomi ke atas Moscow.

Sekatan itu termasuk mengeluarkan bank Rusia daripada SWIFT, sistem pesanan global yang membolehkan transaksi kewangan merentasi sempadan dan syarikat, yang secara tidak langsung memutuskan hubungan perniagaan dengan persekutuan Rusia.

Jiran Malaysia Singapura, pada Isnin mengutuk tindakan serangan tanpa provokasi Rusia dan berkata ia akan mengenakan kawalan eksport ke atas barangan yang boleh digunakan secara langsung sebagai senjata di Ukraine dan menyekat transaksi bank dan kewangan tertentu yang mempunyai kaitan dengan Rusia.

Sementara itu di Jepun, Perdana Menteri Fumio Kishida berkata sekatan yang dikenakan ke atas Rusia termasuk pembekuan modal, larangan mengeluarkan visa kepada warganegara dan entiti Rusia, membekukan aset organisasi kewangan, dan larangan ke atas barangan yang mungkin digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Barton menegaskan bahawa krisis ini juga berisiko menggugat keseimbangan geopolitik semasa dunia, mengakibatkan kesan tidak langsung terhadap pembangunan politik dan ekonomi Indo-Pasifik.

Sekatan antarabangsa boleh mendorong Rusia mengadakan hubungan ekonomi yang saling bergantung dengan China, selain mendorong Moscow untuk mencari hubungan komersial dan politik yang lebih erat dengan negara lain, termasuk di Asia Tenggara.

Barton juga bersetuju bahawa walaupun perbincangan awal antara Moscow dan Kyiv gagal, rundingan tetap penting untuk menamatkan krisis.

Beberapa faktor mesti dipertimbangkan untuk rundingan yang berkesan. Paling utama, Rusia mesti menghentikan pencerobohannya di wilayah berdaulat Ukraine.

Putin juga harus menghentikan sokongannya kepada puak pemisah di Ukraine dan menggugurkan retorik untuk membenarkan serangan itu, katanya.

Barton berpendapat, Ukraine perlu berhenti memprovokasi Moscow untuk berintegrasi sepenuhnya dengan institusi Barat seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan EU.

“Setakat ini, meskipun dialog masih boleh dilakukan dan berterusan, nampaknya NATO dan EU sedang menunggu untuk melihat bagaimana Putin bertindak balas apabila kempen ketenteraannya menyaksikan rasa tidak puas hati dunia dengan tindakan Rusia,” katanya.

Pusingan kedua rundingan antara Moscow dan Kyiv diadakan di Belovezhskaya Pushcha di sempadan Belarus-Poland, pada Khamis.

Sesi Khas Kecemasan ke-11 di Perimpunan Agung PBB pada Rabu meluluskan resolusi menuntut Rusia menghentikan operasi ketenteraannya di Ukraine.

Resolusi itu diterima pakai oleh 193 anggota Perhimpunan Agung PBB dengan 141 undi memihak, lima menentang dan 35 berkecuali. Rusia, Belarus, Syria, Korea Utara dan Eritrea mengundi menentang penerimaan resolusi itu.

Penerimaan itu dibuat selepas Perhimpunan Agung mengadakan Sesi Khas Kecemasan mengenai situasi di Ukraine pada Isnin dan Selasa.

Menurut angka PBB, sekurang-kurangnya 227 orang awam di Ukraine terbunuh, termasuk 13 kanak-kanak, dan lebih 400 yang lain cedera, manakala dianggarkan satu juta orang melarikan diri dari Ukraine ke negara jiran.

Putin pada Khamis lalu mengumumkan "operasi ketenteraan khas" ke Ukraine dengan tentera Rusia menawan banyak pekan dan bandar Ukraine. Rundingan antara pegawai Ukraine dan Rusia pada Isnin di sempadan Ukraine-Belarus tidak mencapai kata putus untk menghentikan konflik itu.

- Bernama