Anwar: PKR laksana pemilihan secepatnya demi prinsip demokrasi
Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan pemilihan partinya akan diadakan secepat mungkin walaupun ada cadangan untuk menangguhkannya kerana dia mahu PKR menegakkan prinsip demokrasi.
Anwar berkata demikian hari ini semasa melancarkan aplikasi mudah alih ‘Adil’ yang membolehkan ahli PKR mendaftar dan mengundi secara dalam talian pada pemilihan kepimpinan PKR akan datang.
"Ramai rakan-rakan saya yang mengusulkan dengan agak tegas meminta kita tangguhkan pemilihan kerana kita masih ada peluang (berdasarkan perlembagaan PKR) dan memang kecenderungan kepimpinan parti-parti besar di negara kita semuanya memilih untuk menangguhkan.
"Saya berbeza pendapat. Kita dipilih pada tahun 2018 dengan mandat yang jelas untuk lima tahun.
"Peruntukan perlembagaan (PKR), kuasa ROS (Pendaftar Pertubuhan) membolehkan kita menangguhkan (pemilihan) kalau ada alasan darurat atau pilihan raya umum.
"Ini tidak berlaku. Jadi saya agak berkeras mengatakan kalau parti ini ingin mempertahankan prinsip demokrasi dan menghormati mandat rakyat, mandat ahli (PKR) maka kita harus bergegas melaksanakan secepat mungkin," katanya di ibu pejabat PKR di Kuala Lumpur hari ini.
Kata Anwar, sebab lain pemilihan parti perlu diadakan secepat mungkin kerana terdapat beberapa jawatan penting yang kosong sejak Langkah Sheraton.
Jawatan-jawatan itu perlu diisi secepat mungkin, jelasnya, sambil menambah dia tidak mahu melantik sendiri pemimpin yang akan mengisi kekosongan jawatan parti itu kerana ahli-ahli PKR yang harus memilih mereka.
Anwar berkata mereka juga telah belajar daripada pemilihan parti sebelum ini, yang menyaksikan banyak aduan dan isu dengan proses berkenaan walaupun mereka telah berusaha sebaik mungkin ketika itu.
Sebab itu, Anwar berkata PKR akhirnya tampil dengan sistem baru pada pemilihan parti kali ini melalui kaedah hibrid.
Kaedah hibrid itu akan merangkumi pengundian dalam talian, yang mana aplikasi ‘Adil’ akan berfungsi sebagai platform, serta pengundian fizikal di pusat mengundi.
Kata Anwar lagi, PKR tidak membuat peralihan sepenuhnya kepada pengundian dalam talian kerana masih ramai ahlinya di luar sana yang tidak mempunyai akses yang stabil kepada Internet atau menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan teknologi baru.
Pemilihan PKR bagi pemegang jawatan bagi penggal 2022 hingga 2025 akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei depan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai