Skip to main
Logo Malaysiakini

Aura 'bossku' tak pernah pudar, kata Zahid

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan pujian kepada bekas perdana menteri Najib Razak hari ini.

Bagi Zahid, aura Najib - yang telah pun disabitkan kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah - kekal kuat walau tidak lagi menjadi perdana menteri 

“Aura bossku tidak pernah pudar. Malah ketika jadi perdana menteri, auranya cukup tinggi.

“Selepas tidak jadi perdana menteri, aura dia tetap terus tinggi,” katanya kepada pemberita di Mersing hari ini.

Oleh sebab itu, kata Zahid, dia meminta Najib menyertai kempen pilihan raya BN, yang menyaksikan gabungan itu meraih kemenangan.

“Untuk tujuh pilihan raya kecil (PRK), kita menang 7-0. Bagi pilihan raya negeri (PRN), kita menang di Sabah Melaka. Insya-Allah kita menang di Johor juga,” katanya lagi.

. ini bukan hanya utk 7 PRK kita meanng 7-0 , PRN, di sabah, melayak. insallah ktia akan meanng jugak PRN johor.

“Malu apa bossku” adalah slogan yang digunakan pasukan Najib untuk menjenamakan semula imejnya selepas tewas dalam PRU 2018, di tengah kehangatan skandal 1MDB.

Zahid bercakap selepas Najib menyampaikan ucapan untuk mengalu-alukan penyertaan semula anggota Bersatu ke BN.

Umno parti terbuka

Antara yang hadid adalah Ketua Bersatu Mersing Laili Yusof, yang keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada BN dalam PRN Johor.

Zahid berkata, dia menerima penyertaan semula Laili ke dalam Umno. Dia juga mengumumkan parti itu akan menerima semula bekas Ketua Bersatu Tebrau Mazlan Bujang yang keluar parti Januari lalu.

“Saya terima Mazlan, Laili dan lain-lain, termasuk yang di peringkat cawangan.

“Laporkan kepada mereka yang Umno parti terbuka. Malah kalau tak mahu masuk Umno secara terus pun, kita ada pengerusi lembaga penasihat BN (Najib).

“Ada klausa (benarkan) terima mereka sebagai ahli langsung BN,” katanya lagi.

Dengan kempen PRN Johor akan masuk minggu terakhir, Zahid berkata dia berharap Umno dan BN akan muncul sebagai pemenang.

Dia juga mengecam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) kerana cuba menggantikan Umno dan BN.

“Ada sebuah parti yang rasakan mereka mahu gantikan Umno. Bukan saja guna warna merah (sebagai warna parti), buat gabungan juga guna warna biru.

“Itu parti guna warna palsu untuk kaburi rakyat, khususnya pengundi. Umno dan BN adalah merah dan biru yang asli,” katanya.

Zahid kini berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan rasuah berkaitan jutaan dana milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Dia juga berdepan 40 pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM43 juta untuk sistem Visa Luar Negara.

Najib pula dalam proses rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta berkaitan penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd, bekas subsidiari 1MDB.

Kempen PRN Johor bermula 26 Februari lalu dan pengundi akan membuat pilihan mereka pada 12 Mac ini.