Skip to main
Logo Malaysiakini

PH ikrar kembalikan program kebajikan dimansuhkan BN di Johor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini mengumumkan tawaran kepada rakyat negeri Johor sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya negeri dan membentuk kerajaan negeri.

Antaranya mengembalikan pelbagai program kebajikan yang diperkenalkan dalam tempoh 22 bulan PH mentadbir negara namun dihentikan atau dimansuhkan selepas BN berkuasa.

"Ada tawaran-tawaran yang kita kemukakan pada pilihan raya umum ke-14 yang tidak pernah ditawarkan kerajaan BN ketika memerintah sepanjang 60 tahun.

"Contohnya air percuma, Kad Sihat, insentif Siswa Harapan kita tambahkan jumlah bilangan kepada mahasiswa dan juga Takaful Warga Emas, di mana sebahagian yang kita tawarkan ini dibatalkan atau tidak diteruskan,” kata Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan.

Kad Sihat Johor merupakan kad perubatan yang menawarkan subsidi untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta bagi keluarga dan individu berpendapatan rendah.

Kad ini memberikan subsidi RM50 bagi setiap lawatan ke klinik sehingga maksimum RM500 setahun untuk sebuah keluarga dan RM200 untuk individu.

Selepas BN mengambil alih kerajaan negeri pada 2020, dasar subsidi perubatan ini menjadi tidak menentu dengan terdapat aduan pada awal 2021 bahawa kad berkenaan tidak boleh digunakan.

Siswa Harapan

Insentif Siswa Harapan pula menyediakan pemberian one-off sebanyak RM500 kepada pelajar diploma dan RM100 untuk pelajar asasi yang memulakan pengajian di universiti.

Manakala Takaful Warga Emas Johor pula menawarkan bayaran RM1,000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia.

Dalam dokumen tawaran pilihan raya yang dikeluarkan hari ini PH menyebut gabungan itu akan mengembalikan insentif mahasiswa, takaful untuk warga emas dan subsidi kad perubatan berkenaan.

Menariknya, Perikatan Nasional (PN) dalam ikrar pilihan rayanya juga membuat janji serupa untuk mengembalikan beberapa program kebajikan, termasuk air percuma dan subsidi kad perubatan untuk keluarga berpendapatan rendah.

PN diketuai oleh Bersatu, yang dahulunya merupakan sebahagian daripada gabungan PH.

Skim KMK

Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor turut mengkritik rancangan BN untuk memperkenalkan semula dasar-dasar lepas yang bertentangan dengan tadbir urus yang baik dan telah dimansuhkan oleh PH.

Contohnya, katanya, Kuota Menegak Kerajaan (KMK), satu skim di mana 20 peratus rumah mampu milik diperuntukkan kepada wakil rakyat untuk diserahkan kepada golongan memerlukan.

Bagaimanapun, Aminolhuda berkata dasar itu disalahgunakan secara meluas oleh ahli politik yang menawarkan rumah mampu milik kepada kroni dan mereka yang menyokong parti berkenaan.

"Di sini berlakunya penyelewengan oleh pemimpin politik, guna kedudukan untuk peribadi dan kroni yang mana itu rumah mampu milik itu adalah untuk rakyat yang tidak mampu beli rumah mahal.

"Kami orang politik tapi tak mahu ambil kesempatan kerana kita berikan saluran ini kepada dua golongan memerlukan iaitu pertama kepada golongan muda dan kedua keluarga yang memiliki anak OKU," kata Aminolhuda, yang juga Pengerusi Amanah Johor .

Penyandang Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dalam satu majlis pada 13 Feb lalu menyatakan hasrat BN untuk mengembalikan Skim KMK.

"Skim kuota menegak kerajaan (KMK) yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum dimansuhkannya oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) juga akan dikembalikan bagi memberi lebih peluang perumahan kepada masyarakat negeri ini,” kata Hasni dipetik Utusan Malaysia.

Sementara itu Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata banyak dasar yang diperkenalkan oleh gabungan itu kini mula diterima oleh musuh politik mereka.

Antaranya katanya, termasuk undang-undang anti lompat parti, jawatankuasa pengawasan di DUN dan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.

"Ini semua idea diperkenalkan oleh Pakatan Harapan sejak 2008. Ini idea-idea kami bentangkan dan kami cadangkan sejak dulu lagi dan sekarang ini kita dapati pihak sana terima idea-idea kita,” katanya.

Untuk rekod BN dan PH sebelum ini berjanji untuk memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang.

Kedua-dua gabungan itu juga berikrar melaksanakan persempadanan semula bagi menangani pertumbuhan drastik pengundi baru berikutan pengenalan pendaftaran pemilih automatik.

Sementara itu, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata rancangan PH untuk mewujudkan undang-undang anti lompat parti di Johor adalah selari dengan perkembangan di peringkat pusat.

Turut hadir pada pelancaran majlis ikrar pilihan raya itu ialah Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abd Aziz.

BN sebelum ini mengumumkan ikrar pilihan raya gabungan itu pada 1 Mac, manakala PN berbuat demikian sehari kemudian.