Skip to main
Logo Malaysiakini

Projek tambak di Melaka lulus, mungkin tak selari rancangan fizikal negara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan secara prinsipnya bersetuju untuk projek Zon Ekonomi Pantai Negeri Melaka (M-WEZ) dijalankan.

Bagaimanapun, projek tebus guna tanah besar-besaran itu mungkin melanggar kriteria yang disenaraikan dalam Rancangan Fizikal Negara 4 (RFN4).

Pada hari Rabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Muttalib menyatakan bahawa Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) membuat keputusan untuk projek itu diteruskan pada 5 Julai 2021, dalam satu mesyuarat.

Majlis kemudiannya meluluskan RFN4 pada 21 Okt 2021, yang memutuskan bahawa aktiviti penambakan hanya membenarkan dua jenis pembangunan:

1) Pembangunan infrastruktur berkepentingan nasional seperti pelabuhan, lapangan terbang, empangan pantai dan stesen janakuasa; dan

2) Pembangunan untuk keselamatan dan pembangunan sekuriti negara.

Sementara itu, MPFN menyenaraikan syarat lain untuk pemaju M-WEZ, termasuk keperluan untuk projek penambakan tidak memberi kesan kepada tapak warisan, tidak menyekat pemandangan antara laut dan tapak warisan, dan memastikan projek pembangunan akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Pemaju dikehendaki mengemukakan pelbagai laporan dan mendapatkan kelulusan, termasuk penilaian kesan alam sekitar (EIA), penilaian kesan sosial (SIA), penilaian risiko marin, penilaian kesan perikanan, rancangan pembangunan pembetungan dan kajian hidrodinamik.

Ismail menjelaskan perkara itu sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dalam sidang dewan khas Parlimen.

Menurut laman web M-WEZ, ia merancang untuk mengambil 25,000 ekar tanah, iaitu dua kali ganda keluasan Putrajaya, untuk dibahagikan kepada lima bahagian.

Projek yang dicadangkan termasuk pelabuhan, hab logistik, kawasan komersial dan perumahan, taman hiburan dan rekreasi serta pusat beli-belah.

Sementara itu, Projek AJA seluas 300 ekar, di bawah pelan M-WEZ, merancang untuk membina kawasan perumahan dan komersial, pelabuhan dan kemudahan kapal layar.

M-WEZ dan Projek AJA dilihat tidak selari dengan dua jenis pembangunan yang disenaraikan dalam RFN4.

Laporan EIA Project AJA kini dalam semakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Khoo turut mempersoalkan mengapa Projek AJA tidak mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada MPFN seperti yang diminta oleh Rancangan Fizikal Negara 3 (RFN3).

Ismail menjelaskan MPFN pada mulanya memutuskan untuk "ditangguh sehingga beberapa perkara dikaji semula" pada 6 Mei 2021.

Permohonan itu tidak mengemukakan laporan EIA serta SIA, kata ahli parlimen Umno Maran itu.

Bagaimanapun, selepas "mengambil kira komen, nasihat serta pandangan", MPFN memutuskan untuk meluluskan projek penambakan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri pimpinan Umno Melaka.

Selain itu, pada Selasa, Khoo memberitahu Jabatan Alam Sekitar (JAS) terdapat keperluan untuk kerajaan negeri Melaka dan pemaju menyediakan EIA makro.

Laporan EIA mengenai projek tebus guna di bawah pelan tindakan M-WEZ telah dikemukakan secara berasingan dan oleh itu, kesan keseluruhan alam sekitar masih tidak diketahui, kata ahli parlimen DAP itu.

Maklum balas JAS dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim. Bagaimanapun, dia tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan Khoo.

Awang Hashim berkata, sejak 1999 sehingga kini, 11 projek tebus guna yang terletak di kawasan M-WEZ telah diluluskan meliputi tanah seluas 1,091.72 hektar (kira-kira 2,698 ekar).

Dalam erti kata lain, 89 peratus daripada tanah itu masih belum ditebus di bawah projek M-WEZ seluas 25,000 ekar.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa pemimpin Umno dikaitkan dengan projek penambakan AJA.

Syarikat di bawah timbalan ketua Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad dan bekas timbalan exco Ghazale Muhamad memiliki kawasan konsesi di bawah projek yang dicadangkan itu.

Selain daripada kebimbangan terhadap kesan alam sekitar, isu lain yang dibangkitkan termasuk banjir yang semakin teruk, kesan warisan dan masa depan spesies penyu terancam yang bertelur di sepanjang pantai.