Skip to main
Logo Malaysiakini

'PR1MA di cerun': Pahang digesa jelaskan dakwaan bercanggah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan Pahang digesa menjelaskan sendiri selepas Putrajaya mengesahkan ia tidak terlibat dalam projek perumahan yang dikatakan dibina di Bukit Raka, Bentong.

Dalam satu kenyataan hari ini, Adun Bilut Lee Chin Chen berkata jawapan bertulis Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Dewan Rakyat bercanggah dengan papan kenyataan yang dipasang oleh Jabatan Perhutanan Bentong.

Papan kenyataan itu menyatakan tujuan pembukaan tanah di Bukit Raka adalah untuk projek perumahan PR1MA, sebuah inisiatif perumahan oleh kerajaan persekutuan.

“Kerajaan negeri mesti menjelaskan siapa yang berbohong dalam perkara ini kerana terdapat kenyataan bercanggah daripada kerajaan pusat dan negeri,” kata Lee.

Lee telah mengecam kerajaan Pahang berhubung pembukaan hutan di Rizab Kuala Raka sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan banjir besar di kawasan itu pada Disember tahun lepas.

Berikutan itu, kerajaan Pahang melaksanakan moratorium pembalakan di seluruh negeri.

Bagaimanapun, penduduk di Taman Shahbandar Height berhampiran telah mengadu bahawa mereka mengesyaki terdapat penebangan hutan di Rizab Kuala Raka.

Menurut papan kenyataan yang menuju ke tapak itu, kawasan yang merupakan cerun bukit itu akan dibersihkan untuk projek perumahan dan berkeluasan 31.556 hektar (kira-kira saiz 44 padang bola).

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan terdapat penebangan hutan di kawasan itu.