Skip to main
Logo Malaysiakini

Imej satelit papar kehilangan litupan hutan 1km dari Tasik Kenyir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Imej satelit kawasan sekitar Tasik Kenyir menunjukkan penebangan hutan dalam jarak satu kilometer dari tasik, dalam zon perlindungan.

Kerajaan perhutanan negeri sebelum ini menafikan pembalakan haram di kawasan itu, berikutan video tular mengenai serpihan kayu memenuhi sungai berhampiran tasik.

Imej satelit yang boleh diakses melalui Global Forest Watch (GFW) menunjukkan kehilangan litupan pokok di kawasan itu dalam tempoh tahun lepas, yang dikatakan aktivis merujuk kepada pembalakan.

Imej kawasan Kenyir bertarikh November 2020


Imej kawasan Kenyir bertarikh Mei 2021


Imej kawasan Kenyir bertarikh September 2021


Imej kawasan Kenyir bertarikh Januari 2022


Semakan Malaysiakini mendapati beberapa tompok kehilangan litupan pokok mula muncul sekitar Mei tahun lalu dan menjadi ketara pada paparan imej satelit sekitar September.

Berdasarkan paparan pada GFW, kawasan yang sama telah mengalami kehilangan litupan pokok seluas tujuh hektar sejak 2019 - bersamaan dengan hampir 10 padang bola sepak.

Pemandangan umum kawasan Tasik Kenyir (lihat di bawah) juga menunjukkan kawasan lain kehilangan litupan pokok dalam jarak satu kilometer dari tasik.

Data GFW tidak menyatakan sebab kehilangan litupan pokok, yang juga boleh disebabkan oleh fenomena semula jadi seperti tanah runtuh atau kebakaran.

Perhutanan negeri digesa telus

Walau bagaimanapun, aktivis alam sekitar percaya ia adalah petunjuk pembalakan disebabkan oleh coraknya, yang mempunyai persamaan dengan laluan pembalakan di tempat lain.

"Kami curiga ia ada kaitan dengan aktiviti pembalakan (atau) pembukaan hutan oleh manusia kerana corak pandangan dari atas yang diperhatikan terhadap gangguan kepada litupan hijau menyerupai corak yang dilihat sebelum ini di kawasan pembalakan," kata naib presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Damien Thanam kepada Malaysiakini.

Justeru, katanya, jabatan perhutanan negeri perlu menjelaskan jika ada sebarang pembinaan sedang berlaku di hutan di situ.

“Pengarah Perhutanan negeri sangat jelas apabila menyebut tiada pembalakan haram berlaku di Tasik Kenyir. Tetapi dia gagal menyebut jika ada pembalakan berlesen atau lesen penebangan hutan untuk pusat peranginan atau bangunan kerajaan dikeluarkan.

"Pejabat perhutanan negeri perlu telus dalam perkara ini," katanya.

Taman Negeri Kenyir ialah zon perlindungan seluas 30,000 hektar yang ditubuhkan pada 2018.

Selain mengandungi takungan air penting dan empangan hidroelektrik, ia juga menempatkan sekurang-kurangnya 44 spesies mamalia dan lebih daripada 290 spesies burung, termasuk spesies terancam kritikal seperti Harimau Malaya.

Kumpulan alam sekitar Rimba, yang membantu kerajaan negeri mewujudkan Taman Negeri Kenyir, berkata masih terdapat kawasan di sana, terletak di luar zon perlindungan seluas 30,000 hektar, yang diperuntukkan untuk pembalakan.

“Walaupun kita telah bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu untuk berjaya melindungi sebahagian kawasan tadahan sebagai Taman Negeri Kenyir, banyak lagi kawasan hutan di sana masih diperuntukkan untuk pembalakan.

"Bagi mengurangkan perubahan iklim, terdapat keperluan mendesak untuk mencegah penukaran hutan selanjutnya, bukan sahaja untuk hidupan liar, tetapi untuk mengekalkan mata pencarian penduduk di Terengganu yang bergantung kepada Kenyir untuk tebatan air dan banjir," kata Rimba dalam laman webnya.

Awal minggu ini, jabatan perhutanan negeri dan kerajaan Terengganu sama-sama menjelaskan bahawa longgokan serpihan kayu berhampiran Tasik Kenyir bukan akibat pembalakan tetapi hujan lebat, yang menyebabkan tanah runtuh yang besar.

Gelinciran itu melibatkan tanah dengan anggaran 100m panjang dan 50m lebar.

Ia susulan video pendek anggota bomba dan penyelamat menyeberangi kawasan air yang dipenuhi dengan apa yang kelihatan seperti beratus-ratus kayu terapung, dengan papan tanda untuk Tasik Kenyir kelihatan di belakang.