Skip to main
Logo Malaysiakini

Hasni, Ismail Sabri wajah kempen BN di Johor - KJ

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini menegaskan penyandang menteri besar Johor Hasni Mohammad dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob merupakan wajah kempen BN untuk pilihan raya negeri.

Ini selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengaitkan BN dengan bekas perdana menteri Najib Razak, yang telah disabitkan atas kesalahan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan jenayah pecah amanah.

Naratif itu disemarakkan lagi dengan Najib secara aktif membuat penampilan berprofil tinggi semasa berkempen untuk pilihan raya Johor.

“Tak apa. Itu naratif PH dan PN. Biarlah.

Poster boy kami di sini ialah Hasni dan pemimpin negara kami ialah Ismail Sabri dan saya dapat lihat pengundi juga melihatnya.

"Kami tidak dihantui oleh perkara itu," kata Khairy kepada wartawan selepas melawat pusat operasi pilihan raya BN Iskandar Puteri di Johor Bahru.

Hasni merupakan pengerusi BN Johor manakala Ismail Sabri ialah naib presiden Umno.

Khairy berkata dia menjangkakan Hasni akan dilantik semula sebagai menteri besar sekiranya BN menang dalam pilihan raya Johor.

Mengiringi Khairy ialah calon MCA bagi kerusi Skudai Lim Soon Hai dan calon Umno bagi DUN Kota Iskandar Pandak Ahmad.

Skudai dan Kota Iskandar merupakan kerusi DUN di bawah parlimen Iskandar Puteri.

Khairy juga menolak hujah bahawa pengundi tidak sepatutnya menyokong BN kerana ia adalah gabungan untuk rasuah.

“BN menawarkan aspirasinya kepada rakyat, tiada kaitan dengan pemimpin yang korup.

"Pemimpin parti kita ialah Hasni. Dia mempunyai kredibiliti yang baik dan pengundi menerimanya. Ismail Sabri juga tiada masalah," katanya.

Khairy turut diminta menjawab kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyeru pengundi menghukum Umno dan BN.

Terdahulu, Khairy yang sekali lagi dalam lawatan kerja ke Johor selepas lawatan terdahulu pada 27 Feb, mengunjungi klinik kesihatan kerajaan Gelang Patah, membawa bersamanya calon BN.

Kempen untuk pilihan raya Johor bermula pada 24 Feb. Hari mengundi pada 12 Mac.