Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuan Ibrahim tolak jawab status agenda hudud PAS

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mengelak daripada menjawab isu hudud ketika beberapa pemimpin Perikatan Nasional mendakwa mereka tidak lagi bercakap mengenainya selepas menjadi kerajaan.

Ditemui media di Kota Bharu hari ini, Tuan Ibrahim sebaliknya meminta media menumpukan soalan mereka kepada isu air dan tandas sesuai dengan tujuan lawatan rasminya.

"Saya fikir kita selesaikan isu air dulu. Isu yang kita bawa kali ini adalah isu yang - walaupun orang sebut tandas - dari segi impak kesihatan ia sangat besar.

"Sebab itu kalau boleh kita fokus yang ini dulu," katanya pada sidang media di Madrasah Haji Junoh, Kampung Paya Keranji.

Ahli parlimen Kubang Krian itu hadir untuk merasmi dan menyerahkan projek menambah baik kemudahan tandas rumah ibadah.

Semalam ada dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) - yang disertai PAS - menyatakan bahawa pemimpin parti itu kini tidak lagi menyuarakan isu pelaksanaan hukum hudud selepas menjadi kerajaan.

Mereka ialah Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan Presiden Gerakan Dominic Lau. Kedua-dua mereka menyatakan hal itu di majlis makan malam anjuran ahli perniagaan Cina di Johor Bahru.

Tak perlu takut PAS

Muhyiddin - dalam usahanya meredakan kebimbangan pengundi Cina terhadap kerjasama Bersatu dengan PAS - bertanya bertanya kepada hadirin sama ada mereka masih mendengar tentang "potong-potong" dibangkitkan PAS, merujuk kepada pelaksanaan hukuman hudud.

"Ada orang Cina takut PAS... takut cerita ‘potong, potong, potong’.

"Ketika saya jadi perdana menteri, dalam parti saya dulu pun ada PAS. Tiga menteri PAS. Sekarang pun tiga menteri PAS. Ada beberapa timbalan menteri PAS.

"Ada dengar dia cerita ‘potong-potong’? Tak ada lagi cerita. Pasal apabila dia (PAS) sudah jadi kerajaan, dia faham... dia kena ambil kira ini ada Cina, Melayu, India. Ada (agama) Islam, ada Buddha, ada Hindu, dia kena jaga," katanya.

Dominic Lau

Lau yang juga Presiden Gerakan berkata masyarakat Cina tidak perlu lagi takut terhadap PAS.

"Sudah terbukti... Kita lihat semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan, dia menjemput ahli parlimen PAS menjadi menteri dan jelas mereka tidak pernah membangkitkan apa-apa tentang hudud," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai inisiatif naik taraf kemudahan tandas di rumah-rumah ibadah, Tuan Ibrahim berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan kerajaan untuk tujuan berkenaan di 485 rumah ibadah di seluruh negara.

Menurutnya sehingga Feb lalu sebanyak 407 tandas di rumah ibadah sudah dinaik taraf bagi memastikan sistem pembentungannya lebih mesra alam dan penggunaan prosuk cekap air serta pengurusan sistem kumbahan lebih efisien.

"Baki hanya tinggal sekitar 78 projek lagi dijangka siap Mei depan.

"Kerajaan juga merancang untuk memperuntukkan lebih kurang RM20 juta lagi yang juga membabitkan lebih banyak rumah ibadah. Kita tengok projek ini berjaya dan berkesan jadi kita akan teruskan projek ini.

"Fasa kedua jangka bermula selepas Mei nanti dengan anggaran dua kali ganda jumlah rumah ibadat yang terlibat pada fasa pertama," katanya.