Skip to main
Logo Malaysiakini

Adakah status tak jelas jawatan AG dikait 'kluster mahkamah' - soal MP DAP

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kelewatan status sama ada Peguam Negara Idrus Harun akan diperbaharui atau digantikan telah menimbulkan banyak persoalan, terutamanya berkaitan dengan "kluster mahkamah", kata Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran.

“Kluster mahkamah” merujuk kepada beberapa pemimpin politik berjawatan tinggi yang kini terpalit dengan pelbagai kes rasuah.

“Ini (kelewatan) menimbulkan banyak persoalan. Benarkah kabinet dan perdana menteri tidak berpuas hati dengan AG (peguam negara) kerana masih mendakwa individu terkenal yang tergolong dalam ‘kluster mahkamah’ itu?

“Atau adakah perdana menteri mahu AG baru pilihannya untuk menjaga kepentingan Umno,” soal Kulasegaran dalam satu kenyataan hari ini.

Kulasegaran mengingatkan bahawa tempoh perkhidmatan Idrus sebagai peguam negara akan tamat hari ini jika tiada pengumuman lanjutan dibuat.

Tidak ada jawatan AG sementara

Idrus pertama kali dilantik jawatan sebagai peguam negara oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 6 Mac 2020, bagi menggantikan Tommy Thomas, yang meletak jawatan selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Kulasegaran turut memberi amaran bahawa jawatan tersebut tidak boleh dibiarkan kosong.

Jelasnya, kerajaan mempunyai banyak keputusan undang-undang yang perlu dibuat dan tanpa peguam negara yang bertindak sebagai penasihat undang-undang, banyak keputusan perlu ditangguhkan.

Mengikut amalan biasa, Kulasegaran (gambar, atas) berkata pengganti jawatan itu sepatutnya sudah lama dikenalpasti.

“Ia sangat tidak teratur dan memalukan bagi mana-mana negara yang berdepan dengan perkara seperti ini.

“Adakah negara ini tidak mempunyai ketua polis negara pada masa akan datang kerana kelewatan yang sama, adakah itu boleh dibayangkan?

“Perdana menteri perlu ingat bahawa tidak ada (jawatan) peguam negara sementara.

“Bagi peranan yang begitu penting, kita mesti tahu apa punca kelewatan itu.

“Negara berhak mendapat jawapan,” kata Kulasegaran lagi.