Skip to main
Logo Malaysiakini

Kata Wee layak terima Oscar, MCA minta polis siasat DAP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin MCA membuat laporan polis selepas Ahli Parlimen Kulai dari DAP, Teo Nie Ching mempersendakan presiden parti itu, Wee Ka Siong.

Ini selepas rancangan debat antara MCA dan DAP dibatalkan, yang disifatkan Teo sebagai "ditulis sendiri, diarahkan dan dilakonkan" oleh Wee.

Wee pada 25 Feb lalu mencabar Teo untuk berdebat mengenai isu pendidikan Cina dan pemimpin DAP itu menerima cabaran berkenaan.

Namun presiden MCA itu kemudiannya berkata dia mahu berdebat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

MCA menempah tempat di Johor Bharu dan mengedarkan bahan promosi debat antara kedua-dua pemimpin itu walaupun Lim tidak pernah menyatakan persetujuan.

Bagaimanapun MCA mengumumkan acara itu tidak akan diteruskan kerana gagal mendapat kebenaran pihak polis.

Teo hadir di lokasi debat itu semalam dengan penyokongnya menaikkan sepanduk yang mempersendakan Wee.

Ahli parlimen DAP itu mendakwa Wee tidak berniat untuk berdebat sebaliknya mengatakan dia layak menerima anugerah lakon layar terbaik di Oscar.

Komen itu dilaporkan dalam akhbar Cina, menyebabkan timbalan ketua biro perkhidmatan dan aduan awam MCA Pasir Gudang, Ang Tun Chek membuat laporan polis terhadap Teo.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Ang merujuk kepada video rakaman selama 30 minit ucapan Teo dan laporan Oriental Daily mengenai pembatalan debat itu oleh MCA.

"Saya mewakili ahli MCA membuat laporan polis ini untuk menafikan siaran dan video tidak benar melibatkan Teo Nie Ching dan mahu polis mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Laporan pois itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam petang semalam.

Pertikaian antara MCA dan DAP berlaku semasa kempen pilihan raya Johor sedang berlangsung.

PRN Johor bermula pada 26 Feb dan rakyat di negeri itu akan keluar mengundi pada 12 Mac.