Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam Najib jalani kuarantin, bicara audit 1MDB dilapangkan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah akan menjalani kuarantin wajib selama lima hari, selepas pulang dari United Kingdom (UK) esok.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melapangkan tarikh perbicaraan berkaitan pindaan laporan audit 1MDB membabitkan bekas perdana menteri itu bermula hari ini sehingga Khamis.

Perkara itu disahkan oleh pasukan pendakwaan serta pasukan peguam Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Sebelum ini, dilaporkan Shafee dan beberapa peguam akan bertemu bakal peguam diraja United Kingdom (QC) yang akan mewakili Najib dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dalam kes rasuah SRC International.

Peguam Najib, Rahmat Hazlan berkata Shafee dijangka tiba di Malaysia esok dan masih perlu menjalani kuarantin selama lima hari, bermula esok.

“Peguam Najib (Muhammad) Shafee masih berada di United Kingdom untuk tujuan QC dan akan kembali esok dan perlu menjalani kuarantin wajib lima hari,” kata Rahmat ketika dihubungi.

Peguam itu menambah tarikh perbicaraan juga dilapangkan minggu ini berikutan peguam Arul Kanda, N Sivananthan, mempunyai urusan mahkamah lain untuk diselesaikan.

Ketika dihubungi, Sivananthan serta timbalan pendakwa raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengesahkan tarikh prosiding minggu ini dilapangkan.

Mereka juga memaklumkan perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan ditetapkan untuk disambung semula pada 28 Mac.

Najib dan Arul Kanda dilihat berada di galeri awam Mahkamah Tinggi, ketika pasukan peguam dan pendakwa raya menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya dengan jurubahasa mahkamah.

Bekas perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan berhujah keputusan untuk melakukan pindaan itu dibuat semasa mesyuarat pada 24 Feb 2016, di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa.

Pindaan itu didakwa dilakukan bagi mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan isu kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Satu lagi isu yang didakwa digugurkan daripada laporan audit 1MDB itu ialah dua penyata kewangan 1MDB pada 2014 yang dikatakan bercanggah.

Selain Ali dan Arul Kanda, individu lain yang hadir pada mesyuarat itu ialah ketua audit negara ketika itu, Ambrin Buang, bekas pegawai Jabatan Audit Negara (JAN), Saadatul Nafisah Ahmad Bashir, bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Salleh, dan wakil Jabatan Peguam Negara ketika itu, Dzulkifli Ahmad.