Erdogan gesa Putin isytihar gencatan senjata, damai di Ukraine
GLOBAL | Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menggesa rakan sejawatannya dari Rusia Vladimir Putin untuk mengisytiharkan gencatan senjata di Ukraine, membuka koridor kemanusiaan dan menandatangani perjanjian damai, kata pejabatnya.
Anggota Nato, Turki berkongsi sempadan maritim dengan Rusia dan Ukraine di Laut Hitam dan mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya.
Ankara telah menyifatkan pencerobohan Rusia tidak boleh diterima dan menawarkan untuk menganjurkan rundingan, tetapi ia menentang sekatan terhadap Moscow.
Dalam satu kenyataan selepas panggilan telefon selama sejam pada Ahad, presiden Turki berkata Erdogan memberitahu Putin bahawa Turki bersedia untuk menyumbang kepada penyelesaian konflik secara aman.
"Presiden Erdogan, yang berkata gencatan senjata serta-merta bukan sahaja akan meredakan kebimbangan kemanusiaan di rantau itu tetapi juga memberi peluang mencari penyelesaian politik, memperbaharui gesaannya 'mari kita membuka jalan untuk kedamaian bersama'," kata pejabatnya.
"Erdogan menekankan kepentingan mengambil langkah segera untuk mencapai gencatan senjata, membuka koridor kemanusiaan dan menandatangani perjanjian damai."
Kremlin berkata Putin memberitahu Erdogan bahawa Rusia hanya akan menghentikan operasi ketenteraannya jika Ukraine berhenti berperang dan jika tuntutan Moscow dipenuhi, sambil menambah operasi itu akan diteruskan sebagaimana dirancang.
Rusia menggelar serangannya itu sebagai "operasi ketenteraan khas". Ia telah menyebabkan lebih 1.5 juta kehilangan tempat tinggal.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengatakan ia sebagai krisis pelarian yang paling pesat berkembang di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Turki berkata adalah "naif" untuk mengharapkan hasil daripada rundingan Ukraine-Rusia semasa pertempuran masih berterusan.
Menteri Pertahanan Turki Hulusi Akar kemudian bercakap dengan rakan sejawatannya dari Ukraine Oleksii Reznikov melalui telefon dan memberitahunya bahawa gencatan senjata, walaupun untuk masa terhad, amat diperlukan untuk pemindahan orang awam yang selamat dan penghantaran bantuan.
Kementerian Pertahanan turki juga berkata Akar juga telah menyampaikan jangkaan Turki supaya memastikan jaminan keselamatan orang Turki yang belum atau sedang dipindahkan.
Erdogan, yang menggelar Putin sebagai "kawan", kali terakhir bercakap dengan pemimpin Rusia itu pada 23 Februari, sehari sebelum Rusia melancarkan pencerobohannya.
Seruan itu menjadikan Erdogan pemimpin Nato ketiga yang bercakap dengan Putin sejak serangannya, susulan pemimpin Jerman dan Perancis.
Walaupun menjalin hubungan rapat dengan Rusia dalam bidang pertahanan, perdagangan dan tenaga, serta menjadi tuan rumah kepada berjuta-juta pelancong Rusia setiap tahun, namun Turki juga menjual dron ke Ukraine.
Ini menimbulkan kemarahan Moscow dan Turki juga menentang dasar Rusia di Syria dan Libya, serta pengilhakan Crimea pada 2014.
Turki berkata pihaknya mahu mempertemukan menteri luar dari Ukraine dan Rusia untuk berbincang di forum diplomasi minggu depan di selatan Turki. Kedua-dua negara telah mengalu-alukan tawaran itu, tetapi Ankara berkata tidak jelas sama ada mereka akan dapat hadir atau tidak.
(Laporan oleh Tuvan Gumrukcu, suntingan oleh Dominic Evans dan David Goodman)
- Reuters
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai