Skip to main
Logo Malaysiakini

Didakwa curi RM2.6 bilion, Najib mahu saman ketua penerangan PKR

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri, Najib Razak telah mengarahkan peguamnya memfailkan saman fitnah terhadap ketua penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Pengerusi lembaga penasihat BN itu menyatakan perkara itu dalam catatan di akaun Facebooknya hari ini.

Bulan lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan hasrat untuk menyaman Shamsul berhubung hantaran Facebook Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu mengenai 1MDB.

Menerusi kiriman Facebook pada 23 Feb, Shamsul berkongsi hantaran yang mendakwa wang rakyat Malaysia digunakan untuk menampung gaya hidup mewah Najib dan rakan-rakannya.

Siaran dalam talian itu turut disertakan dengan gambar Najib, ahli perniagaan, Jho Low dan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner.

Selaku saksi utama pendakwaan semasa perbicaraan berkaitan 1MDB terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng di mahkamah New York di Amerika Syarikat, Leissner membuat beberapa siri pendakwaan terhadap Najib, Low dan beberapa personaliti lain.

Dalam catatan di Facebooknya hari ini, Najib mendakwa Shamsul gagal menjawab surat tuntutan yang dihantar oleh peguamnya.

"Dengan ini, saya telah arahkan peguam saya untuk failkan saman fitnah terhadap Shamsul di mahkamah,” kata bekas menteri kewangan itu.

Bekas presiden Umno itu berkata penyokong pembangkang enggan menerima bukti di mahkamah sebaliknya meeruskan propaganda bahawa dia mencuri RM2.6b untuk membeli cincin dan beg tangan.

"Mereka tidak akan mengaku bahawa saya telah didakwa bawah AMLA dan bukan mencuri mahupun merompak (sebagaimana pemimpin mereka dalam kes terowong) dan dana tersebut telah dipulangkan kepada penghantar.

"Bahawa saya didakwa dengan 9 pertuduhan menerima dana yang dikatakan RM2.6b itu dan juga didakwa dengan 7 pertuduhan memulangkan dana tersebut kepada penghantar 4 bulan selepas ia dimasukkan ke dalam akaun atas nama saya,” katanya.

‘Wang diguna untuk kerja-kerja CSR’

Najib berkata pemimpin pembangkang juga enggan mengakui bahawa Kementerian kewangan Arab Saudi pernah memindahkan sekurang-kurangnya RM642 juta kepada akaun atas namanya.

Kata Najib ia kemudiannya digunakan untuk aktviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk bantuan banjir bagi 4 tahun berturut-turut dan bukan untuk kegunaan peribadi.

"Jadi, bagaimana pula saya rompak RM2.6b untuk simpan dan "tampung gaya hidup" saya?" kata Najib.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Shamsul berhubung perkara itu.

Najib sebelum ini dibicarakan atas empat pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Selain bekas perdana menteri, tertuduh juga pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa Low, atas arahan Najib, telah bertindak dengan beberapa pegawai 1MDB yang lain untuk menyelewengkan berbilion ringgit dana daripada dana kekayaan negara itu dan melalui jejak kewangan yang kompleks, untuk memindahkan sebahagian daripada dana itu kepada akaun perdana menteri ketika itu.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan berhujah bahawa Najib tidak tahu mengenai salah laku 1MDB dan keseluruhan urusan itu didalangi sepenuhnya oleh Low dan beberapa pihak dalam 1MDB.