Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M bangkitkan hadiah hartanah RM70 juta untuk Pak Lah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) hari ini membangkitkan isu hadiah berupa hartanah kepada bekas penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir berkata kerajaan tidak menghormati perlembagaan atau undang-undang yang diluluskan parlimen apabila kelihatan gemar bertindak sesuka hati tanpa mengambil kira kedaulatan undang-undang.

Selain hadiah hartanah berjumlah RM70 yang diberikan kepada Abdullah, Mahathir berkata Najib Razak sebelum ini juga memohon hadiah hartanah bernilai RM100 juta daripada kerajaan.

Kata Mahathir pada masa lalu bekas-bekas perdana menteri hanya diberi rumah sehinggalah sampai kepada perdana menteri kelima dan keenam itu.

“Apa yang kita lihat ialah kerajaan bersikap seolah-olah kerajaan mempunyai kuasa lebih daripada perlembagaan - boleh buat apa saja dan tidak perlu rujuk ke Dewan ini,” kata Mahathir semasa sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Dia bagaimanapun mengakui tiada undang-undang yang menghalang pemberian hadiah kepada bekas perdana menteri, tetapi ia diberikan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan pemimpin itu kepada negara semasa mereka menjadi perdana menteri, sama seperti “golden handshake“ terhadap pekerja cemerlang di sektor swasta.

“Dalam golden handshake, biasanya pegawai yang berjasa akan diberi hadiah, tapi mungkin terhad ke satu jam Rolex, tetapi kita lihat dalam kerajaan, apa yang dicadangkan bahkan diberi kepada PM adalah jauh lebih besar daripada jam Rolex.

“Ini adalah sesuatu tindakan yang diluar undang-undang. Kita mempunyai undang-undang dalam negara ini, (di mana) kita harus ikut the rule of law, iaitu kita buat sesuatu mengikut undang-undang. Tetapi di sini kita lihat, walaupun tak ada apa-apa undang-undang yang melarang, tetapi tindakan yang diambil adalah luar biasa daripada peruntukan.

“Ini adalah tindakan yang di atas undang-undang. Walaupun tidak ada undang-undang yang melarangnya, tetapi tindakan yang diambil adalah luar biasa, daripada peruntukan (kerajaan),” katanya.

Mahathir mula membangkitkan isu permintaan Najib untuk mendapatkan sebidang tanah berharga RM100 juta pada November lalu di Parlimen. Pada masa itu, didedahkan bahawa Kabinet pada dasarnya bersetuju untuk memberikan tanah itu kepada Najib.

Bagaimanapun, Najib membuat keputusan menarik balik permohonannya sebelum keputusan kabinet diumumkan selepas mendapat kritikan.

Selain pemberian yang berlebih-lebihan kepada bekas perdana menteri, Mahathir hari ini berkata kerajaan juga telah mengabaikan kedaulatan undang-undang apabila membentuk badan untuk tujuan yang sudah dikendalikan oleh badan lain, yang kemudiannya diketuai oleh pegawai yang bergaji tinggi.

Dia berkata terdapat undang-undang mengenai pembentukan badan-badan tersebut dan setahunya, badan yang baru ditubuhkan itu tidak mendapat kelulusan parlimen.

Tegasnya, masalah utama ialah keputusan ini dibuat tanpa merujuk kepada undang-undang atau Dewan Rakyat.

“Tiap sesuatu yang nak dilakukan mesti dilakukan secara tertib. Dewan yang mulia ini mesti dirujuk untuk semua yang kerajaan mahu lakukan,” katanya.