Skip to main
Logo Malaysiakini

PM nasihat elak kawasan banjir kilat KL, hati-hati memandu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menasihati orang ramai supaya berhati-hati susulan banjir kilat yang melanda Lembah Klang petang ini.

"Enam kawasan di Pusat Bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dan dinaiki air.

"Kementerian dan agensi telah mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan Keluarga Malaysia.

"Elak melalui kawasan banjir kilat dan berhati-hati memandu sewaktu hujan," katanya pada satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beberapa bahagian di sekitar Lembah Kelang, termasuk ibu negara Kuala Lumpur dilanda banjir kilat, selepas hujan lebat berterusan lebih satu jam.

Antara kawasan tersebut yang dilaporkan terjejas teruk termasuk di Kuchai Lama, Pudu dan Bukit Jalil.

Sehingga 5 petang tadi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengesahkan air terus meningkat di Dang Wangi iaitu di Jalan Sultan Ismail, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Raja Laut dan Jalan Kia Peng.

Beberapa sungai juga dilaporkan mula melimpah, antaranya di Sentul, Jambatan Sulaiman, Lebuh Pasar dan Jalan Parlimen, manakala paras air di Sungai Gombak dikatakan pada tahap berbahaya.