Skip to main
Logo Malaysiakini

30 Mac keputusan rayuan untuk VK Lingam jadi peguam semula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam kanan VK Lingam yang dikaitkan dengan dakwaan skandal klip video yang menentukan pelantikan hakim di negara ini pada 2007 kini mempunyai satu lagi peluang untuk cuba mengetepikan larangan yang menghalangnya daripada mengamalkan undang-undang sebagai peguam.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 30 Mac untuk mendengar rayuannya berhubung keputusan Badan Peguam Malaysia 2015 yang memecatnya daripada senarai peguam bela dan peguam cara.

Wakil Badan Peguam, Razlan Hadri Zulkifli, mengesahkan bahawa mahkamah tertinggi negara itu telah menetapkan tarikh pendengaran susulan pengurusan kes rayuan pagi ini.

“Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 15 Mac 2022, untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis, dan 30 Mac 2022, untuk pendengaran (rayuan Lingam),” kata Razlan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pada 22 Mei 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menafikan permohonan Lingam untuk membatalkan keputusan Lembaga Tatatertib Badan Peguam. Mahkamah Rayuan juga mengekalkan keputusan mahkamah tersebut pada 27 Julai tahun lalu.

Lingam digugurkan daripada senarai sebagai peguam bela dan peguam cara oleh Lembaga Tatatertib pada 6 Nov 2015.

Dia dikaitkan dengan skandal pelantikan hakim apabila klip video yang didakwa miripnya sedang merundingkan pelantikan hakim tertinggi negara didedahkan kepada orang ramai pada 2007.

Sebuah Suruhanjaya Diraja (RCI) telah ditubuhkan pada 2008 untuk menyiasat perkara itu.

Suruhanjaya lima anggota itu mengesyorkan supaya tindakan diambil terhadap beberapa personaliti utama yang terlibat dalam skandal itu – Lingam, bekas ketua hakim negara Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Eusoff Chin, pemimpin Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan taikun perniagaan Vincent Tan .

Dalam laporannya setebal 191 muka surat, suruhanjaya itu mengesyorkan supaya keenamenam individu berkenaan disiasat di bawah pelbagai undang-undang - Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Rasuah dan Akta Profesion Undang-undang.

Lingam dan beberapa yang lain kemudian mencabar penemuan RCI di mahkamah tetapi Mahkamah Persekutuan pada September 2011 memutuskan bahawa keputusan suruhanjaya itu tidak boleh dicabar.

Peguam itu dipercayai menetap di luar Malaysia. Sebelum ini, dia dilaporkan berada di United Kingdom untuk mendapatkan rawatan perubatan.