Maips mohon jadi pencelah prosiding penceraian Loh, suami
Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (Maips) memfailkan permohonan untuk mencelah prosiding penceraian antara ibu tunggal, Loh Siew Hong dan Muhammad Nagahswaran Muniandy.
Maips memohon locus standi (asas perundangan) dalam prosiding itu agar ia dapat membuat permohonan variasi ke atas terma hak penjagaan tiga anak pasangan itu kepada Loh.
Dalam kenyataan media hari ini, Maips permohonan itu khususnya bagi membolehkan pihaknya mendapat akses memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam kepada tiga anaknya, ketika di bawah jagaan ibu bukan beragama Islam.
Pada 21 Februarai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk disatukan semula dengan anak-anaknya.
Nagahswaran, yang kini dipenjara atas kesalahan berkaitan dadah, didakwa menukar agama mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran Loh.
Ibu tunggal itu mendapat hak penjagaan penuh pada Disember tahun lalu.
Maips berkata mereka memfailkan permohonan menerusi firma guaman Zainul Rijal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Kata Maips, pendidikan agama yang ingin diberikan tidak terhad kepada pemakanan hala dan haram, serta bantuan kewangan menerusi zakat dan batuan lain yang akan disalurkan menerusi Loh.
Bukan ingin nafi hak ibu
Maips menegaskan pihaknya tidak masuk campur mahupun berpihak dalam prosiding penceraian antara Loh dan Nagahswaran.
“Peranan Maips hanyalah bagi memastikan kebajikan anak-anak mualaf serta akidah mereka sentiasa terjaga, apatah lagi mereka amat komited sebagai Muslim, dan agar mereka mendapat sokongan dan bantuan yang diperlukan dari sudut kewangan, pendidikan dan sosial.
“Walaupun berada dalam jagaan Loh, tiga kanak-kanak tersebut boleh dilihat menzahirkan iktikad dan keazaman melalui perbuatan dan tingkah laku untuk terus berada dalam agama Islam, masih lagi mengamalkan syariatnya, bahkan dalam beberapa laporan media dikatakan menunaikan solat Subuh, dan salah seorang daripadany apabila ditanya wartawan menjawab cita-cita apabila dewasa kelak ingin menjadi peguam syarie,” kata Maips.
Menurutnya, permohonan mereka bukan untuk menafikan hak Low sebagai ibu.
“Diharap tiada pihak cuba mengapi-apikan sentimen kebencian bersifat keagamaan dan perkauman yang sempit,” katanya lagi.
Terdahulu, Loh dilaporkan berhasrat mencabar penukaran agama sepihak tiga anaknya menerusi semakan kehakiman.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai