Skip to main
Logo Malaysiakini

Saharul bersyukur rezeki buat umrah semasa Ramadan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Beranggapan tawaran menunaikan umrah di bulan Ramadan bagai rezeki terpijak, Saharul Ridzwan bersyukur dia memperoleh peluang keemasan itu walaupun situasi Covid-19 yang belum reda.

Kata pelakon berkenaan, tidak ramai yang berpeluang beribadat di Tanah Suci sekarang walaupun mereka mempunyai kemampuan ekonomi yang mencukupi.

“Dalam keadaan sekarang ni, orang yang berduit macam mana banyak sekalipun belum tentu dapat tunai ibadah di Mekah.

“Tidak macam dulu. Kalau dulu, sesiapa ada duit dan masa boleh terus ke Mekah buat umrah.

“Tapi sekarang kalau tak bernasib baik, kita masih tak dapat pergi sebab kekangan prosedur operasi standard (SOP) dan Covid-19,” katanya.

Saharul bakal berangkat bersama kumpulan pertama jemaah umrah syarikat Syabibah Travel & Tours pada 1 April ini.

Untuk rekod, ini adalah kali keempat pemilik nama penuh Mohd Saharul Ridzwan Hashim itu akan menunaikan umrah. Lebih manis, isterinya, Qaabila Deena Emir Mohammed Akif Emir akan turut serta.

Pada masa sama, Saharul berkata, dia sememangnya merancang untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Dia bersyukur apabila dimaklumkan ustaz bahawa ganjaran menunaikan umrah ketika bulan Ramadan bersamaan seperti menunaikan ibadah haji.

“Saya dah pasang niat untuk tunaikan ibadah haji tahun ni. Saya dah pergi ke Tabung Haji untuk daftar tapi giliran saya pada tahun 2062.

“Insya-Allah, saya akan cuba buat rayuan untuk proses itu dipercepatkan dan harapnya apabila ke Mekah Ramadan ini dapatlah saya berdoa depan Kaabah untuk urusan menunaikan haji dipermudahkan,” katanya.