Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP, MCA bertelagah calon siapa lebih fasih BM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | MCA dan DAP bertembung sekali lagi, kali ini berhubung kemahiran Bahasa Malaysia di kalangan calon mereka.

Ia selepas Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata calon partinya memiliki keupayaan dalam soal kepelbagaian budaya yang lebih baik, dengan penguasaan bahasa kebangsaan yang lebih baik berbanding calon MCA.

“Menurut maklumat, sekurang-kurangnya 10 daripada 15 calon MCA tidak dapat bercakap bahasa kebangsaan dengan fasih tanpa membaca skrip.

“Manakala calon DAP memiliki kemahiran pelbagai bahasa lebih baik dan mampu menjawab soalan di sidang DUN,” katanya dalam kenyataan.

Dia juga berkata calon DAP lebih baik berbanding calon MCA dalam semua aspek.

Bagaimanapun pandangan itu disangkal Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon, yang menuduh Liew sebagai ketandusan idea dengan membangkitkan kemahiran berbahasa calon partinya.

“Pastilah ia tidak benar. Liew keluarkan kenyataan untuk kritik kemahiran basah calon MCA ketika PRN tunjukkan dia tiada idea yang bermakna untuk dibangkitkan,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru hari ini.

Dalam kenyataannya terdahulu hari ini, Liew berkata MCA telah sekian lama berkata calon mereka lebih bermutu berbanding DAP dan sekali lagi membangkitkannya dalam kempen di Johor.

“Hakikatnya, selepas tiga PRU dan pemilihan parti terakhir, pemimpin MCA telah merosot dari generasi ke generasi,” dakwa Liew.

MCA bertanding di 15 DUN manakala DAP di 14 DUN.

DAP bertembung dengan MCA di kesemua kerusi yang ditandingi. MCA juga berdepan dengan Muda di satu kerusi.

Kempen PRN Johor bermula 26 Februari lalu dan pengundi akan membuat pilihan mereka pada 12 Mac ini.