Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih sejuta ahli PKR akan undi pilih presiden, jawatan tertinggi parti

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemilihan PKR akan datang bakal menyaksikan kira-kira 1.2 juta ahli yang layak akan memilih presiden parti dan lima jawatan tertinggi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada mesyuarat di peringkat cabang yang berlangsung Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata ia berbeza dengan pemilihan parti sebelum ini di mana kepimpinan PKR hanya dipilih dalam kongres nasionalnya.

Lima jawatan tertinggi yang akan dipilih pada mesyuarat cabang melalui kaedah satu orang satu undi itu ialah seorang timbalan presiden dan empat naib presiden.

Mengikut sistem baru itu, baki 20 ahli majlis pimpinan pusat (MPP) akan dipilih oleh 2,664 perwakilan pada kongres nasional PKR pada akhir Jun ini.

Setiap cabang akan menghantar kira-kira 12 perwakilan untuk menyertai kongres nasional PKR.

Begitu juga, katanya, lima jawatan tertinggi dalam sayap Pemuda dan Wanita iaitu ketua, timbalan ketua dan tiga naib ketua - akan dipilih melalui sistem satu orang satu undi semasa pemilihan cabang manakala perwakilan akan memilih 20 exco semasa kongres nasional.

Selain itu, dia berpendapat sistem pemilihan hibrid dapat mengurangkan amalan 'cai'.

Cai adalah istilah dalam bahasa Mandarin di mana ahli diberikan senarai pilihan calon untuk jawatan parti mengikut kem berbeza seperti yang berlaku dalam pemilihan parti 2018.

"Ini boleh mengurangkan 'cai'. Perkara buruk tentang 'cai' ialah ahli mungkin tidak mengenali mereka, tetapi mereka diberi senarai untuk mengundi. Ia bukan amalan yang baik," tambah Zaliha.

Ia antara pembaharuan yang dicadangkan oleh jawatankuasa sistem pemilihan PKR, sebuah unit yang ditubuhkan tahun lepas untuk menerajui reformasi pemilihan parti itu.

Jawatankuasa pemilihan yang diketuai oleh Zaliha diamanahkan untuk melaksanakan pemilihan tersebut.

"Jawatankuasa ini ditubuhkan tahun lepas dan saya adalah anggotanya. Ia ditugaskan untuk melihat keseluruhan pemilihan lepas, kesilapan dan kelemahan, Ia mengeluarkan cadangan kepada biro politik dan MPP mengenai amalan terbaik. Parti memutuskan untuk menjalankan sistem hibrid untuk pemilihan parti," katanya.

PKR menjadi tumpuan apabila berlaku pertelingkahan antara penyokong kem timbalan presiden sebelum ini, Azmin Ali dan pencabar timbalan presiden, Rafizi Ramli.

Selain amalan 'cai', parti itu turut terpalit dengan skandal pembelian undi pada pemilihan PKR cabang Lanang pada November 2018 selepas sekumpulan ahli parti didakwa menukar resit pengundian dengan wang di sebuah klinik.

Jawatankuasa pemilihan pusat parti itu juga menggantung keputusan pemilihan cabang Julau selepas dakwaan berlaku sebagai "serangan siber" daripada Rafizi, menyebabkan seorang pegawai pemilihan PKR ditahan.

Selain pemilihan hibrid untuk MPP, Zaliha sekali lagi menegaskan parti itu juga akan menggunakan sistem pengundian hibrid di mana ahli dan perwakilan parti boleh memilih untuk mengundi secara fizikal atau mengundi dalam talian, melalui Aplikasi Adil yang baru dilancarkan.

Menurutnya, aplikasi mudah alih baru itu dijangka meningkatkan kadar ahli yang akan mengundi dalam pemlihan parti itu kepada 350,000 orang berbanding 200,000 pada pemilihan 2018.

"Sasaran kami ialah sekurang-kurangnya 30 peratus ahli mengundi melalui aplikasi mudah alih dalam talian. Untuk tujuan ini, kami akan bekerja keras untuk berkempen bagi pengundian dalam talian.

"Mereka yang mendaftarkan diri sebagai pengundi dalam talian, akan diberi masa tiga hari untuk mengundi melalui aplikasi itu. Mereka boleh mengundi dalam talian walaupun berada di luar negara atau melancong di luar kawasan. Bagaimanapun, mereka tidak boleh mengundi secara fizikal," katanya.