Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PN nafi beli undi, dakwa telefon kena godam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Calon Perikatan Nasional bagi kerusi DUN Bekok, Tan Lek Khang menafikan dakwaan bahawa dia membeli undi selepas tular mesej SMS daripada telefon bimbitnya.

Mesej yang tular itu mengatakan pengundi di kawasan itu boleh menuntut RM1,000 daripada Tan di bilik Gerakan PN Bekok.

Tan sebaliknya berkata telefon bimbitnya telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Mohon perhatian kepada semua. Telefon saya telah digodam oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan menjalankan kempen politik yang sangat kotor.

“Saya memang prihatin, tetapi ini bukan cara saya membeli undi,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Justeru Tan menggesa pengundi Bekok supaya mengabaikan mesej yang tular dan memohon maaf atas kesulitan yang timbul.

Tan yang merupakan seorang usahawan, menghadapi pertandingan empat penjuru di Bekok. Dia akan berdepan calon DAP, M Kanan, calon MCA, Tan Chong dan calon Warisan, Segaran Arumugam.

Sebelum tempoh berkempen, Kanan mendakwa Tan cuba membeli undi dengan menghulurkan wang tunai serta menganjurkan acara untuk memberikan makanan dan mengisi minyak motosikal percuma di kawasan itu.

Bagaimanapun, Tan menegaskan dia tidak melakukan kesalahan kesalahan kerana masih belum dinamakan secara rasmi sebagai calon PN pada masa itu.

Tan juga berkata dia telah menganjurkan program kebajikan di kawasan itu sejak tiga tahun lalu.

“Saya sudah hampir tiga tahun di sini. Mengapa mereka tidak membangkitkan isu ini (semasa saya menghulurkan bantuan) semasa PKP Covid-19.

“Sebelum penamaan calon, saya ada menganjurkan aktiviti membantu rakyat.

“Selepas penamaan calon, saya tidak menganjurkan program sedemikian kerana saya hanya dibenarkan berkempen. Jadi apa salah saya?” katanya kepada Malaysiakini pada 23 Feb lalu sebagai jawapan kepada tuduhan Kanan.