Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bayar ganti rugi Sulu RM26.59b atau risiko ganggu perdagangan M'sia'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia berkewajipan selaku penandatangan Konvensyen New York untuk membayar jumlah timbang tara AS$14.92 (RM62.59 bilion) yang diberikan kepada waris Kesultanan Sulu, kata peguam mereka.

Peguam Elisabeth Mason, dari 4-5 Gray’s Inn Square yang berpangkalan di London, berkata keengganan untuk mematuhi keputusan timbang tara Sepanyol pada 28 Feb akan meletakkan Malaysia berisiko mengalami kerosakan teruk pada kedudukannya sebagai negara perdagangan dan destinasi pelaburan.

Peguam itu menasihatkan adalah tidak mungkin bagi Malaysia untuk enggan menunaikan tanggungjawabnya sebagai penandatangan konvensyen hanya kerana keputusan timbang tara yang merugikan.

“Malaysia, seperti hampir semua negara, adalah penandatangan Konvensyen New York, yang merangkumi undang-undang timbang tara.

“Adalah tidak realistik untuk Malaysia secara tiba-tiba menolak faedah dan kewajipan sebagai penandatangan, semata-mata kerana ia telah menerima keputusan yang tidak baik.

“Jika Malaysia membelakangkan proses undang-undang seperti ini, ia akan merosakkan kedudukannya sebagai negara perdagangan dan destinasi pelaburan.

“Dan 167 negara lain dalam konvensyen itu masih akan menguatkuasakan penghakiman berkenaan,” kata Mason dalam e-mel kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Dia bertindak balas kepada Putrajaya yang menyuarakan tentangan keras untuk membayar jumlah besar-besaran kepada keturunan sultan Sulu yang terakhir.

Putrajaya telah mengisytiharkan timbang tara Sepanyol yang memutuskan pelanggaran imuniti kedaulatan Malaysia.

Kerajaan mendakwa bahawa anugerah itu terbatal dan tidak sah kerana persoalan mengenai kelayakan penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa untuk mendengar prosiding timbang tara.

Malaysia berhujah bahawa Stampa juga sedang disiasat oleh pendakwa raya Sepanyol atas dakwaan menghina perintah mahkamah di Sepanyol dan Perancis.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Peguam Negara Idrus Harun enggan mengulas kenyataan Mason.

Keputusan timbang tara itu adalah berhubung dakwaan pihak yang menuntut, waris Sulu bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian 1878, yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, saudagar kelahiran Jerman Baron de Overbeck, dan Alfred Dent dari syarikat British North Borneo Company.

Malaysia telah berhenti membayar wang penyerahan tahunan RM5,300 kepada waris Sultan Sulu sejak 2013 berikutan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.

[Baca berita asal]