Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ pesan ibu bapa - Masa 'tunggu dan lihat' sudah tamat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hanya satu juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah divaksin daripada 1.63 juta janji temu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (Pickids) yang dihantar setakat 3 Feb lepas, demikian menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata baki iaitu lebih 600,000 individu yang telah mendaftar dan menerima tarikh janji temu, gagal mendapatkan vaksin berkenaan.

"Vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak lima hingga 11 tahun baru mencecah 30 peratus, dengan keadaan kes yang meningkat dalam kalangan kanak-kanak, kita melihat kemasukan ke hospital meningkat, di samping kita melihat kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) meningkat.

“Ibu bapa masih lagi tidak buat pilihan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak mereka melalui vaksinasi kanak-kanak (Pickids).

"Saya rasa masa untuk tunggu dan lihat dah tamat...kita melihat vaksinasi ini selamat dan memberi perlindungan daripada gejala yang paling serius," katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti varian Omicron berbanding varian sebelum ini, memandangkan kumpulan itu amat terdedah dan belum mendapat perlindungan sewajarnya, berbanding kumpulan dewasa yang telah divaksin.

Beliau berkata lebih berisiko adalah kanak-kanak yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kumpulan kanak-kanak berisiko tinggi (‘immunocompromised’) seperti mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kanser, asma dan obesiti.

"Varian Omicron juga akan menyebabkan keadaan penyakit sedia ada menjadi lebih teruk. Sebagai contoh, pesakit mempunyai asma akan mengalami semput yang teruk walaupun kategori jangkitan Covid-19 adalah rendah,” katanya.

Khairy berkata jumlah keseluruhan kanak-kanak berumur di bawah 11 tahun yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan peningkatan iaitu 7,730 pada 2020 kepada 379,245 pada 2021.

Beliau berkata jumlah keseluruhan pesakit kanak-kanak di bawah 12 tahun yang dijangkiti Covid-19 tahun ini bagi tempoh Januari hingga pertengahan Mac adalah seramai 119,719 orang.

Mengenai kadar kemasukan kanak-kanak ke wad PICU, beliau berkata ia meningkat sebanyak 94 peratus untuk semua kategori tiga hingga lima dengan peningkatan ketara kategori empat adalah sebanyak 200 peratus dan kategori lima, 125 peratus.

- Bernama