Skip to main
Logo Malaysiakini

'Semua sokong Bossku': Lagi calon MCA bawa Najib berkempen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Penjaja dan pengunjung di Medan Selera 568 di Taman Sakeh Baru menjalani rutin seperti biasa pagi ini sebelum sekumpulan penyokong BN mula membanjiri tempat sarapan pagi yang terkenal di pekan Bakri itu.

Kumpulan berkenaan berada di situ untuk berkempen bagi calon MCA, Gan Qi Ru yang bertanding di kerusi DUN Bentayan.

Gan berdepan pertembungan tiga penjuru dengan penyandang kerusi DUN daripada DAP, Ng Yak Howe dan Eddy Tan Kok Hong daripada Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, pagi ini bukan sesuatu yang biasa buat Gan, kerana dia turut membawa bersama 'Bossku' untuk membantu berkempen kepada pengundi yang sedang menjamu selera di medan selera berkenaan.

Gan merupakan calon MCA ketiga yang menjemput Najib Razak untuk membantu kempen mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Bercakap kepada pemberita selepas minum bersama Najib dan beberapa pemimpin MCA lain sambil dikerumuni orang ramai yang ingin melihat sendiri pemimpin BN berkenaan, Gan melahirkan rasa gembira atas sambutan yang diterima dan mengucapkan penghargaan kepada Najib.

"Sangat bagus... Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bossku kerana support (sokong)," kata Gan.

Dia juga percaya pengundi Cina akan menyokong BN pada pilihan raya kali ini, termasuk di DUN Bentayan, kerusi yang disandang DAP selama tiga penggal berturut-turut.

"Ya, (mereka) memang sokong (MCA). Semua orang sampai ke ke sini untuk sokong Bossku," kata Gan.

Senada dengan Gan, Najib berkata sambutan yang diterima sepanjang aktiviti kempen bersama masyarakat Cina di Johor sangat menggalakkan.

Bekas perdana menteri tiu berkata terdapat tanda-tanda sokongan kaum Cina telah kembali kepada BN dan berharap ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi pada hari mengundi.

“Setakat ni tanda-tanda tu adalah amat menggalakkan.

“Misalnya sambutan yang saya dapat pada pagi ini. Tak mungkin saya dapat pada tahun 2018.

“Namun kita harap ia diterjemahkan dalam bentuk undi pada 12 Mac nanti," kata Najib.

‘Ingat ada wang, tapi tak ada wang, bo lui’

Sementara itu, Malaysiakini menemuramah beberapa pengundi yang berada di medan selera itu termasuk penjaja dan pelanggan untuk mendapatkan reaksi mereka, sama ada peningkatan populariti Najib bermakna masyarakat Cina telah kembali menyokong BN dan parti komponennya, MCA.

Meskipun beberapa individu mengatakan mereka tidak boleh menerima Najib yang terpalit dengan kes di mahkamah dan skandal rasuah, namun pengunjung yang lain percaya bekas presiden Umno itu dan BN merupakan pilihan yang tepat buat mereka.

Seorang penjual buah-buahan yang dikenali sebagai Goh, 62, berkata kes mahkamah membabitkan Najib tidak begitu penting berbanding tadbir urus yang baik.

“Salah pun tak apa. Tapi bikin mau cantik. Mau kerjalah. Orang akan tengok dan syiok. Orang akan kasi undi sama you punya,” katanya.

Seorang lagi penjaja, Goh Mooi Kim berkata dia tidak dapat meramalkan sama ada MCA boleh memenangi kerusi Bentayan, tetapi percaya masyarakat Cina kini boleh menerima Najib dan BN.

“Mungkin boleh la,” katanya.

Sentimen yang sama disuarakan penduduk tempatan berusia 61 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai Chin, yang berkata BN mungkin boleh mendapat kembali sokongan masyarakat.

Mengenai sabitan bersalah terhadap Najib di mahkamah, Chin berkata dia tidak tahu bagaimana penerimaan orang lain, tetapi dia secara peribadi "tidak kisah".

Sebaliknya, seorang penjual kain yang hanya memperkenalkan diri sebagai Frankie, 50, berkata, dia percaya BN masih tidak boleh diterima oleh pengundi Cina.

"Dia (Najib) makan banyak (wang). Cina betul-betul tak suka dia," dakwanya.

Ditanya apakah DAP membawa sebarang perubahan selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya lalu, Frankie berkata “tiada perubahan”.

Namun katanya, dia akan tetap menyokong DAP pada pilihan raya kali ini.

Frankie juga mendakwa ramai orang datang untuk menyaksikan kehadiran Najib di medan selara itu kerana menjangka mereka akan diberikan wang.

“Orang nak duit saja, bukan nak apa,” tambahnya.

Seorang lagi lelaki dalam lingkungan 40-an juga datang kepada pemberita mengadu dia telah membuang masa untuk melihat kehadiran Najib kerana menyangka dia akan menerima wang tunai.

"Ingat ada wang. Tak ada wang. Bo lui," katanya sambil berlalu pergi apabila wartawan mula berkerumun untuk menemu bualnya.