Skip to main
Logo Malaysiakini

Shahidan: Saliran tersumbat bukan punca banjir kilat di KL

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim menyangkal dakwaan ahli parlimen pembangkang bahawa banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur pada Isnin llalu berpunca daripada sistem perparitan tersumbat dan kolam takungan banjir yang tidak berfungsi.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membersihkan sistem perparitan secara berkala dan kesemua 19 perangkap sampah sungai setiap hari.

Menurutnya lagi, enam kolam takungan banjir berfungsi dengan baik dan ia mencukupi untuk menampung air hujan semasa banjir kilat.

Sungguhpun begitu, Ahli Parlimen Arau itu tidak menolak kemungkinan sungai yang penuh sampah sarap antara punca banjir baru-baru ini kerana air banjir akan menghanyut sampah ke hilir.

“Apabila paras air tinggi, perangkap sampah sedia ada terlepas pada hilir sungai, menyebabkan sampah tersangkut di tempat laluan air serta jejaskan kelancaran air,” katanya semasa menggulung perbahasan usul banjir kilat yang melanda ibu negara.

Terdahulu Fong Kui Lun (Pakatan Harapan-Bukit Bintang) yang membawa usul tergempar bagi membahaskan isu itu di Dewan Rakyat, bertanya sama ada sistem saliran dan kolam tadahan dibersihkan secara berkala.

Terdahulu hari ini, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun membenarkan usul tergempar itu dibahaskan di Dewan hari ini.

Shahidan turut memaklumkan bahawa DBKL sedang dalam proses melantik perunding untuk mereka bentuk semula sistem perparitan di ibu negara bagi menangani peningkatan air hujan dengan lebih baik.

Katanya perunding berkenaan telah diminta menyelesaikan kajian berkaitan dalam tempoh 12 bulan.

Kuala Lumpur mengalami banjir kilat pada Isnin, hanya tiga bulan selepas bencana banjir yang melanda Disember lalu yang melumpuhkan banyak kawasan Lembah Klang ketika itu.

Shahidan berkata banjir melanda 29 kawasan di Kuala Lumpur di mana air surut antara 30 dan 45 minit di 25 kawasan.