Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin 'bertenggek' pada program menteri Bersatu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Sejak Muhyiddin Yassin berundur sebagai perdana menteri pada Ogos tahun lalu, dia mempunyai akses terhad kepada sumber kerajaan.

Tetapi itu tidak menghalang presiden Bersatu itu daripada 'memanfaatkan' pengaruh terhadap menteri yang berasal dari partinya.

Menggunakan gelarannya sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara, menteri Bersatu telah menganjurkan acara kerajaan untuk membolehkan Muhyiddin berucap di tengah-tengah kempen pilihan raya Johor.

Menteri-menteri berkenaan telah cuba menangkis secara awal tuduhan menyalahgunakan jentera kerajaan dengan menggelarnya sebagai "lawatan kerja" dan terdapat peningkatan kekerapan majlis sebegini apabila hari pengundian semakin hampir.

Hari ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun akan menghadiri program Hari Wanita anjuran kementeriannya di Muar dan Muhyiddin dijadual hadir, mengikut atur cara majlis.

Esok pagi, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee akan mengadakan majlis bersaa petani di Batu Pahat dan sekali lagi, Muhyiddin akan berada di sana.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad turut menganjurkan pelbagai sesi dialog bersama peneroka Felda di seluruh Johor, dengan Muhyiddin hadir menyampaikan ucapan.

Ketiga-tiga menteri ini daripada Bersatu.

Tidak ketinggalan, menteri-menteri Umno juga telah berhabis-habisan dengan "lawatan kerja" mereka di Johor. Hari ini, sekurang-kurangnya tiga menteri dalam atur cara sedemikian.

Pagi ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mahdzir Khalid melawat Tanjung Surat di Pengerang, Johor untuk sesi libat urus bersama masyarakat setempat.

Pada jam 10.30 pagi, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar akan mengadakan sesi libat urus dengan usahawan di bawah kementerian itu di Johor Bahru.

Kemudian pada 2.30 petang, Menteri Sains dan Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba (gambar, bawah) akan merasmikan sebuah majlis di Nusajaya, Johor.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican turut menyampaikan surat kelulusan pembaikan rumah di Johor Bahru.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut berada di Felda Lok Heng Timur di Sedili, Johor yang mana dia mengumumkan pelbagai peruntukan untuk peneroka tempatan.

Sejak permulaan kempen, ramai menteri tiba-tiba berminat mengadakan lawatan kerja di Johor dan mereka menambah kekerapan kehadiran apabila tempoh berkempen untuk pilihan raya Johor memasuki peringkat terakhir.

Hanya tinggal dua hari lagi untuk berkempen bagi pilihan raya Johor sebelum pengundi membuat keputusan pada Sabtu (12 Mac).

[Baca berita asal]