Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenyataan Nik Amar berdasarkan fakta - Ikatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah mengenai kemajuan ekonomi Singapura kerana tidak wujudnya Umno dipertahankan oleh Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Shahir Adnan. 

Shahir yang memetik data Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia antara tahun 2020 dan 2021 berkata kenyataan itu berdasarkan fakta kerana ia menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh ke tempat ke-62 berbanding 57 pada tahun 2020. 

“Singapura pula berada pada kedudukan ke-4 dunia. Ini menunjukkan bahawa kenyataan YB timbalan menteri besar adalah berdasarkan fakta, bukannya emosi. 

“Untuk makluman rakyat semua, ketika era pemerintahan BN pada tahun 2017, kedudukan negara kita berada pada tangga ke-62 juga,” kata pemimpin kanan parti sekutu PAS itu dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Amar Abdullah

Semalam, Mohd Amar yang juga naib presiden PAS memberi analogi tersendiri ketika berkempen untuk PN di Johor dengan mengatakan republik tersebut jauh lebih maju berbanding Malaysia kerana tiada Umno-BN di situ. 

Kenyataan tersebut kemudian dibidas oleh ketua pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor hari ini dengan berkata Singapura Maju kerana tiada pembangkang seperti PAS

Pada masa sama, Shahir yang juga pengerusi Ikatan Kelantan yang turut menyentuh mengenai kedudukan ekonomi Malaysia yang jauh ke belakang berbanding Singapura.

Noor Hariri Mohamed Noor

Katanya semua pihak sama ada parti kerajaan mahupun pembangkang harus berganding bahu untuk memacu negara supaya lebih berdaya saing. 

Tambahnya, pemimpin negara sewajarnya menjadikan Malaysia negara yang bebas rasuah dan mengurangkan politik.