Skip to main
Logo Malaysiakini

Bila menang baru PN umum calon MB Johor - Muhyiddin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Perikatan Nasional memutuskan untuk tidak mendedahkan calon menteri besarnya untuk Johor, kata Pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada pemberita pagi ini, dia berkata mereka hanya akan mengumumkan pemilihan menteri besar apabila gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.

"Pimpinan dah buat keputusan kita tidak akan maklumkan. Macam ada juga parti-parti lainpun tidak ada maklumkan siapa.

"(PN) bukan tidak ada calon MB, ramai tokoh-tokoh yang berkaliber, berkelayakan dan bila sampai masa insya-Allah bila dah menang dan dapat kerusi majoriti, pastinya itu kita akan umumkan.

"Harapannya dia akan jadi menteri besar yang baik lah," katanya.

Muhyiddin ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Hari Wanita anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Muar pagi tadi.

PN, yang merupakan gabungan yang terdiri daripada Bersatu, PAS, dan Gerakan di Semenanjung, tidak menamakan calon menteri besar mereka untuk pilihan raya negeri Johor.

Beberapa parti politik lain termasuk pembangkang Pakatan Harapan juga mengambil pendekatan yang sama dengan tidak mengumumkan siapa yang akan menjadi pilihan mereka untuk menjadi menteri besar.

Ini walaupun desas-desus kuat mengatakan PH mungkin akan mencalonkan Maszlee Malik dari PKR yang bertanding di kerusi DUN Layang Layang.

Setakat ini, hanya Barisan Nasional yang menamakan calon pilihan Menteri Besarnya, Hasni Mohammad.

[Baca berita asal]