Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin PKR nafi kenyataan bersama PH-Muda

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Percubaan untuk menonjolkan perpaduan antara parti Pakatan Harapan (PH) dan Muda dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor melalui kenyataan bersama nampaknya memberi kesan sebaliknya apabila terdapat percanggahan.

Kenyataan bersama itu, yang memaparkan logo PH, PKR dan Muda, menyeru semua pihak yang menentang BN bersatu dengan mengundi mereka dan bukannya parti pembangkang lain atau Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Muda Luqman Long, ketika dihubungi, mengesahkan kesahihan kenyataan bersama itu tetapi beberapa pemimpin PKR Johor, termasuk pengerusi negeri Syed Ibrahim Syed Noh dan bekas pengerusi negeri Hassan Karim, berkata mereka tidak tahu mengenai kenyataan itu.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil ketika dihubungi berkata kenyataan itu tidak diluluskan oleh partinya.

Kenyataan bersama itu menyatakan bahawa pilihan raya Johor menyaksikan ramai parti bertanding dan kebanyakan calon mahu melihat BN dikalahkan.

“Sementara kita menghormati semua parti yang bertanding, perlu ada persefahaman bahawa pecahkan undi parti-parti yang menentang BN hanya menguntungkan BN.

“Justeru, jika objektif bersama menumpaskan BN di Johor ingin dicapai, kami dengan rendah hati mencadangkan semua hanya mengundi calon PH daripada PKR, DAP dan Amanah, serta Muda.

"Gesaan ini bukan sahaja ditujukan kepada penyokong Pejuang dan Warisan tetapi juga PN," katanya.

Ia menambah hanya PH dan Muda boleh mengalahkan BN.

Kempen untuk PRN Johor bermula pada 26 Feb dan rakyat Johor akan keluar mengundi pada hari Sabtu (12 Mac).

Amanah dan DAP, yang bertanding di bawah logo PH, telah memberi laluan kepada Muda di enam kerusi.

Bagaimanapun, rundingan Muda dengan PKR - yang bertanding dengan logonya sendiri - menemui jalan buntu. Muda bertembung dengan PKR di Larkin.

Laporan tambahan oleh Zikri Kamarulzaman