Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M tak mahu tutup Lynas ketika PH memerintah - Fuziah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Fuziah Salleh (Pakatan Harapan-Kuantan) mendakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak mahu menutup kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd.

"Orang tanya saya kenapa waktu PH memerintah tak tutup Lynas. Saya nak beritahu sewaktu PH jadi kerajaan, Ahli Parlimen Langkawi (Mahathir) memang tak mahu tutup Lynas.

"Dia tak ada di sini, jika dia ada, dia boleh jawab," katanya semasa membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

"Rakyat marah. Saya nak bagitahu, Ahli Parlimen Bakri (Yeo Bee Yin) sewaktu menjadi menteri cuba sedaya upaya untuk buat sesuatu.

“Dia arah pindah fasiliti 'cracking and leaching' ke Australia," katanya.

Dia berkata demikian ketika melahirkan kekecewaan kerana kerajaan gagal menyelesaikan isu Lynas sejak syarikat itu menjejakkan kaki di Malaysia pada 2008.

"Kerajaan telah ditipu pada 2008 dan selepas perubahan beberapa pentadbiran, kita masih tidak dapat menyelesaikan isu Lynas. Adakah Lynas begitu kuat? Ia hanyalah sebuah syarikat Australia yang tidak membayar apa-apa cukai kepada kerajaan, mengapa kerajaan mempertahankan Lynas?" soalnya.

Pada November 2019, Redzuan Yusof, yang merupakan menteri pembangunan usahawan ketika itu berhujah bahawa menutup Lynas tidak pernah menjadi sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH pada 2018.

Sementara itu, Fuziah turut menyelar kerajaan yang memberikan kelulusan kepada Lynas untuk membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) di Kawasan Perindustrian Gebeng tanpa mematuhi proses sewajarnya.

Terutamanya apabila pihak berkuasa tempatan masih menjalankan kajian mengenai perubahan tebus guna tanah Kawasan Perindustrian Gebeng untuk menerima pembuangan sisa toksik dan radioaktif Lynas.

“Dalam jawapan bertulis parlimen, menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata jawatankuasa perancang negeri Pahang telah memberikan kelulusan untuk tapak PDF (untuk menyimpan) sisa penulenan air (WLP).

"Beliau berkata kebenaran merancang itu diberikan dengan pindaan kepada rancangan itu oleh Majlis Bandaraya Kuantan pada 12 Jan.

"Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan Majlis Bandaraya Kuantan sedang menjalankan kajian untuk menukar guna tanah Estet Perindustrian Gebeng. Penyelidikan bermula 12 Dis 2021 sehingga esok (11 Mac)," katanya.

"Kajian itu belum tamat dan masih diterbitkan untuk tatapan umum tetapi menteri berkata projek itu telah diluluskan pada Januari," katanya.

"Ini apa punya jawapan, menteri, ini tak patut dibayar gaji menteri, yang buat kerja macam ini.

"Hari ini, kita mempunyai satu juta tan metrik sisa radioaktif di Gebeng. Seolah-olah (kerajaan) tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengannya, jadi mereka 'okay' (dan membenarkan sisa toksik ini kekal di Gebeng)," katanya.