Skip to main
Logo Malaysiakini

30,787 kes baru, 70 lagi kematian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan berkata 30,787 kes baru Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 3,741,986.

Kes aktif kini berjumlah 314,421, meningkat 6.9 peratus berbanding 14 hari lalu.

Setakat dua hari lalu, R-naught untuk Malaysia ialah 1.06. Angka R-naught lebih daripada 1.00 menunjukkan bahawa penularan Covid-19 semakin pantas.

Bagaimanapun, R-naught di bawah 1.00 dicatat di Sabah, Johor, Kelantan, Labuan dan Perlis.

Kes baru mengikut negeri adalah seperti berikut:

Selangor (7,525)
Kedah (2,927)
Kuala Lumpur (2,919)
Pulau Pinang (2,773)
Johor (2,220)
Negeri Sembilan (2,115)
Sarawak (1,963)
Kelantan (1,637)
Pahang (1,601)
Perak (1,469)
Terengganu (1,236)
Sabah (1,154)
Melaka (732)
Perlis (248)
Putrajaya (139)
Labuan (129)

Sebanyak 70 lagi kematian yang dikaitkan dengan Covid-19 dilaporkan semalam, di mana 19 daripadanya meninggal dunia sebelum menerima rawatan di hospital.

Sepanjang minggu lalu, purata 77 orang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, manakala purata bagi 30 hari lalu ialah 50.4, menunjukkan bahawa kematian Covid-19 berada dalam aliran menaik.

Terdapat 818 kematian Covid-19 yang dilaporkan pada bulan ini sahaja, lebih daripada keseluruhan bulan Februari (771).

Sejak permulaan wabak pada Mac 2020, sebanyak 33,567 kematian telah dikaitkan dengan Covid-19.

Jumlah kematian tertinggi dilaporkan di Perak (20) diikuti Selangor (11), Johor (10), Kelantan (9), Kedah (7), Negeri Sembilan (4), Sabah (4), Pahang (3), Perlis (1) dan Terengganu (1).

Terdapat 8,750 pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital dengan 389 daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU).

Jumlah pesakit di hospital akibat Covid-19 berada pada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan. Walau bagaimanapun, bilangan pesakit di unit rawatan rapi meningkat pada kadar yang lebih perlahan.