Anwar: Projek tambak Muar perlu lebih telus
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata adalah pelik apabila wakil rakyat tempatan tidak mengetahui projek penambakan yang dirancang di luar pantai Muar di Johor.
Justeru, Anwar menggesa rundingan yang lebih baik berhubung projek itu.
"Pelik. Projek itu dalam kawasan pilihan raya tetapi wakil rakyat tidak tahu. Ia menunjukkan terdapat kekeliruan dan tanda-tanda kekurangan ketelusan.
"Ia jelas mencerminkan dasar kerajaan yang salah, tanpa rundingan dan tidak mengambil berat terhadap kebajikan rakyat - tidak kira sama ada mereka bersama Umno atau Bersatu," katanya kepada wartawan selepas ceramah di Paloh malam tadi.
Anwar berkata demikian merujuk kepada projek Maharani Energy Gateway, yang akan menyaksikan penciptaan tiga pulau buatan manusia untuk menempatkan minyak dan gas serta kemudahan perkapalan.
Projek itu dijangka antara lain memberi kesan kepada nelayan tempatan dan hutan bakau di sepanjang pantai.
Anwar, yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan dan presiden PKR, berkata perlu ada perundingan yang lebih baik dengan masyarakat setempat.
Projek itu bertujuan mewujudkan hab tenaga dan pelabuhan laut dalam yang melibatkan penciptaan tiga pulau buatan manusia yang meliputi kawasan seluas 1,295 hektar, yang akan menjadi kira-kira satu perempat daripada saiz Putrajaya.
Penyandang Adun tempatan di kawasan itu - Nor Hayati Bachok untuk Maharani dan Ng Yak Howe untuk Bentayan - berkata mereka tidak dirujuk sebelum proses EIA dan hanya mengetahuinya baru-baru ini.
"Kami menggesa kerajaan dan pemaju untuk melibatkan kami sebagai pihak berkepentingan yang mewakili rakyat. Projek mega dalam skala ini sudah pasti mengambil masa yang lama untuk dirancang sebelum sampai ke peringkat memaparkan laporan EIA untuk tatapan umum.
"Sepanjang kami menjadi Adun sejak Mei 2018, tiada maklumat mengenai projek itu disalurkan ke pejabat kami," kata Nor Hayati dan Ng dalam satu kenyataan.
Sultan Johor pemegang saham majoriti
Projek itu dimiliki oleh Maharani Energy Gateway Sdn Bhd (MEGSB) yang diperbadankan pada 25 Mac tahun lepas.
MEGSB adalah 55 peratus dimiliki oleh D Marine Industries Sdn Bhd, manakala baki 45 peratus kepentingan dipegang oleh K Energy Sdn Bhd.
Pemegang saham majoriti dalam D Marine Industries ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan 70 peratus kepentingan, manakala 30 peratus lagi dipegang oleh Daing A Malek Daing A Rahaman.
Di bawah struktur saham untuk projek itu, Sultan Johor mengawal pegangan efektif sebanyak 38.5 peratus, yang tertinggi di kalangan semua pemegang kepentingan. Daing A Malek mempunyai pegangan efektif sebanyak 16.5 peratus.
Pegangan 45 peratus K Energy memberikan pemilik bersama mereka Eric Ong Zong Ren dan Valerie Ong Huei Zhen kawalan sebanyak 22.5 peratus setiap satu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai